"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parti lebai, parti badut

MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Politik itu menjadi budaya kehidupan dan hampir bertaraf agama untuk ramai warga Malaysia. Apa sahaja dalam kehidupan seharian mesti berkaitan, malah banyak sekali berteraskan politik.

Mungkin warga Malaysia, terutama orang Melayu adalah bangsa yang paling banyak berpolitik di dunia. Siang malam berpolitik. Makan tidur kencing berak semuanya politik. Dari kedai kopi, pejabat, ke sosial media, politik menjadikan dunia orang Melayu berpusing, berputar dan berkitaran.

Jabatan agama juga bawah politikus. Peruntukan besar untuk JAKIM seakan memberi kuasa taraf nasional untuk para agamawan bergerak bawah payung demokrasi terpimpin. Jangan tanya ke mana pergi wang peruntukan berbilion setahun kerana mereka membuat kerja-kerja sebagai wakil Tuhan.

Mereka diberi peruntukan hasil kutipan cukai dari lebih 80 peratusnya orang kafir, mungkin termasuk cukai dari penjualan arak dan daging babi.

Itulah dikatakan hak hak keistimewaan bangsa yang mesti dipertahankan.

Para agamawan yang aktif berpolitik, dengan gelaran tuan guru, tok guru dan ustaz, terutama bawah parti pak lebai terus menyemarakkan dunia politik negara. Para agamawan yang disanjung sebagai ulama pewaris nabi tentunya mempunyai peranan dalam politik dan kuasa bawah demokrasi ciptaan para Yahudi, kafir dan sekular.

Bagi saya, kita memerlukan agamawan untuk aktif dalam semua bidang kalau mempunyai kepakaran dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Agamawan di luar kerangka politik adalah komponen penting dan kritikal sekiranya benar-benar berjuang tanpa kepentingan lain.

Tetapi kalau agamawan biar bertaraf ulama besar yang dipanggil sebagai tuan guru, tok guru, ustaz atau lebai, sekiranya mereka hidup dengan pendapatan dari karier sebagai politikus, sebagai wakil rakyat yang bertanding pilihan raya dengan gaji dari cukai rakyat berbilang agama, mereka semua adalah politikus.

Lucutlah gelaran agamawan, ulama, tuan guru, tok guru, ustaz dan lebai kalau berpolitik sepenuh masa. Mereka hanyalah politikus seperti mana doktor, jurutera, profesional lain yang menjadi politikus.

Kita tidak memanggil politikus jurutera, politikus arkitek dan sebagainya.

Apa istimewanya para agamawan sebagai politikus? Politik adalah politik, matlamat menghalalkan cara. Walau bernaung bawah parti lebai, tetap bawah perlembagaan yang ditulis penjajah.

Kalau mereka dikritik, dihina, dimomokkan sebagai politikus, tentunya jangan pula dikatakan menghina para ulama. Pisahkan jenama ulama dari tubuh politikus.

Sebagai pengundi, setelah terjebak dengan gerakan reformasi, pernah terlibat dengan parti lebai kerana tiada alternatif lain sewaktu itu.

Mengenali para politikus berlatarbelakangkan agama tentunya berbeza dengan politikus berlatarbelakang bangsa yang sekular.

Saya pernah berceramah di pentas parti lebai dan berkhidmat secara sukarela kerana semuanya demi tuhan, demi agama dan demi pahala. Semua itu pengalaman yang memberikan saya perspektif politik matang dan sejahtera sebagai pengundi yang mahukan yang terbaik untuk negara yang dicintai.

Melihat ke belakang terutama apabila banyak rentetan peristiwa para politikus parti lebai yang berserban, berjubah dan tidak henti memutarkan ayat-ayat suci dalam ceramah, terutama apabila dua kali parti lebai berkecuali dalam pengundian bajet di parlimen, saya teringat sebuah parti badut di New Zealand.

Walau apa pun alasan, sama ada wakil-wakil rakyat parti lebai ini kerap ponteng, jarang berbahas dan berkecuali di parlimen, seakan mereka adalah parti yang tidak serius dan parti lawak taraf nasional.

Saya tidak faham apakah objektif mereka membuang masa, wang, tenaga dan harapan para pengundi dengan bertanding pilihanraya, hanya untuk menjadi pelakon-pelakon sampingan. Terutama presiden lebai yang disanjung sebagai ulama bertaraf dunia walau gagal sebagai MB sepenggal.

Restropektif, kebetulan di kota tempat saya belajar, Hamillton, ada sekumpulan anak muda dan mahasiswa universiti yang muak dengan politik konvensional, menubuhkan McGillicuddy Serious Party (McGSP).

Sebagai sebuah negara maju, New Zealand tidak menghalang pelajar berpolitik dan membenarkan kempen politik di kampus. Apa sahaja parti politik dibenarkan untuk ditubuh dan aktif bawah perundangan.

Lagipun, politik bukanlah setaraf agama seumpama orang Melayu. Menjadi wakil rakyat di New Zealand tiada keistimewaan dan tidak terlalu dimuliakan seperti wakil rakyat kita dari parti memerintah. Tiada pula lebai di New Zealand menubuhkan parti dengan tahaluf siyadi, unity government dan blok ketiga sebagai bahan strategi politik.

McGSP adalah parti politik satira di abad ke 20 lalu untuk memeriahkan politik New Zealand agar warganegara tidak begitu serius berpolitik. Dengan logo badut zaman pertengahan, McGSP mahu dikenali sebagai parti jenaka.

Calon-calon parti badut ini bertanding dalam pilihan raya tahun 1984, 1987, 1990, 1993, 1996 dan 1999. McGSP menerima undi terbanyak dalam pilihan raya 1993 yang mengikut first-past-the-post (FPP) di mana bertanding di 66 kerusi dari 99 kerusi parlimen.

Saya pernah mengikuti aktiviti McGSP sewaktu dikampus kerana terpikat dengan cara politik satira, jenaka, lawak dan komedi yang sama menarik ramai pengundi untuk berhibur.

Polisi McGSP adalah absurd dan tidak masuk akal. Manifesto secara literalnya menjanjikan bulan dan bintang.

Antara janji-janji McGSP kalau memerintah New Zealand,

(1) Tahi lembu percuma.

(2) menghantar perisikan ke seluruh dunia untuk memadam New Zealand dari peta, maka New Zealand selamat dari diserang.

(3) Menghapuskan wang dan diganti dengan pasir.

(4) 100 peratus pekerjaan melalui perhambaan.

(4) Mengundi untuk pokok-pokok.

Dan paling kelakar, berjanji untuk memungkiri semua janji-janji dalam manifesto!

Itulah parti badut yang pernah mendapat undi dalam pilihan raya di New Zealand.

Sedangkan kita terus malang, berdepan dengan parti sekular yang menggunakan ketuanan bangsa untuk merompak, dan parti lebai yang menggunakan agama dan tuhan untuk menjadi pemain simpanan.

Malang kerana, mereka politikus berbangsa Melayu yang tidak lebih setaraf dan lebih berbahaya merosakkan masa depan generasi dari parti badut bernama McGillicuddy Serious Party yang pernah wujud di New Zealand!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
-malaysiakini

Tiada ulasan: