KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis antara empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes samun seorang lelaki di sebuah premis di Rawang, dekat sini, pada 12 November lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan sejak hari kejadian sehingga semalam.
Menurut Fadzil, dua anggota yang ditahan berpangkat Konstabel dan seorang berpangkat Inspektor manakala seorang lagi suspek adalah orang awam.
"Siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kesemua suspek yang ditahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Fadzil berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
Media tempatan melaporkan lelaki berusia 51 tahun yang merupakan ejen insurans didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis bagi memeriksa premis miliknya pada 12 November lepas.
Suspek mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai kira-kira RM4,000 yang disimpannya bersama kad pengenalan untuk diperiksa sebelum mereka melarikan diri bersama wang tunai itu dengan sebuah kereta.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan