"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Umno begitu takut gabungan Mahathir-Anwar’

Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mempersoalkan mengapa kepimpinan Umno begitu takut dengan gabungan pembangkang yang diterajuinya bersama bekas seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Umno menganggap kerjasama saya dan Tun Dr Mahathir sebagai satu perkara yang janggal kerana kami telah bermusuhan begitu lama.

“Pernah saya jelaskan bahawa kesediaan Tun Dr Mahathir menjalin persahabatan telah saya terima dengan baik dengan semangat bersilaturrahim.

“Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun Dr Mahathir dan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Biro Komunikasi, PKR.

Anwar yang dijadual dibebaskan pada 8 Jun ini selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat berkata, muafakat ini adalah kerana tekad mereka bersama untuk menjana perubahan.

“Negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya.

“Skandal skala besar seperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi. Maka hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum

“PRU14 adalah kesempatan terbaik bagi rakyat menentukan masa depan negara menghentikan kezaliman dan membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan,” katanya.

Dr Mahathir memecat Anwar selaku timbalan perdana menteri dan presiden Umno pada September 1998.

Beliau ketika itu menuduh Anwar tidak bermoral dan tidak sesuai untuk memimpin negara itu, manakala timbalannya itu mendakwa perdana menteri merekayasa tuduhan salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa ke atasnya. Anwar kemudian diheret ke mahkamah dan didapati bersalah pada tahun 1999.

Bagaimanapun, selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara, Anwar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan apabila rayuannya dibenarkan bagi mengketepikan sabitan kesalahan meliwat.

Susulan pembebasannya dari penjara, Anwar menubuhkan PKR dan kemudian menjadi ketua pembangkang serta ketua umum Pakatan Harapan hari ini.

Beliau kini menjalani hukuman atas kesalahan liwat II yang dijatuhkan pada 2015. Seperti sebelum ini, beliau juga mendakwa tuduhan liwat II adalah juga rekayasa politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seteru politiknya.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, Mahathir selaku pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan berikrar akan menumbangkan BN dan Najib.

Beliau yang dinamakan sebagai calon perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya juga bersetuju HARAPAN yang gagal didaftarkan sebagai satu entiti bertanding di bawah logo PKR yang diasaskan oleh Anwar.

Tiada ulasan: