"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz Omar cabar Pas tunjuk penyata bank nafi terima duit Umno

ARIF ATAN

Saya tak kata Pas terima rasuah, mungkin derma, kata Mahfuz dalam ceramahnya malam tadi.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mencabar Pas menunjukkan penyata bank sama ada wujud transaksi kemasukan wang daripada Umno berjumlah RM1.5 juta ke akaun salah satu jabatan Pas Pusat.

Menurutnya, beliau tidak perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti didesak beberapa pemimpin Pas.

“Pas boleh tunjuk penyata bank kepada awam pada tarikh 21 Mac ada atau tidak, masuk RM1.5 juta? Itu saja jalan penyelesaian untuk bersihkan nama Pas.

“Apa masalah Pas suruh orang lain buat laporan SPRM? Pasal apa saya nak buat? Saya tak kata Pas terima rasuah. Saya tidak sebut pun Pas terima rasuah. Mungkin sedekah?

“Saya pun tak boleh cakap sama ada itu rasuah atau derma daripada mana-mana tok arab. Jadi, apa perlu saya buat laporan (SPRM)?” bidasnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di tapak pasar malam Mergong, Alor Setar malam tadi.

Pada 7 April lalu, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan mencabar Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden mereka untuk membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan parti tersebut menerima dana daripada Umno.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat juga mengemukakan cabaran sama ke atas Mahfuz ekoran namanya antara yang dikaitkan menerima duit Umno.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata Pas mempunyai keperluan untuk membersihkan nama daripada tuduhan yang dikemukakan pemilik akaun Facebook atas nama Syarifah Sofea Syed Addul Rashid.

“Satu lagi (akaun) Facebook ‘Ana Tahu’ juga mendedahkan perkara sama. Ini tuduhan berat kalau Pas menganggap itu fitnah kepada Pas.

“Saya 10 tahun dulu bila Utusan Malaysia dan Berita Harian buat laporan tak betul dalam kes berlainan, menang dua-dua kes dapat RM300,000.

“Tapi ini bukan soal duit semata-mata tetapi soal maruah apabila orang tuduh perkara tidak betul,” ujarnya.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Seksyen 133 dan 134 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) mengatakan tiada sesiapa boleh mendedahkan apa-apa dokumen bank selain pemilik akaun.

“Maksudnya, tuan pemegang akaun saja boleh dedah, hendak tunjukkan apa yang orang dakwa tidak betul.

“Jadi, Pas kena tunjukkan kepada awam penyata bank pada 21 Mac tentang kemasukan wang kepada tiga orang pemimpin Pas dan Jabatan Pembangunan Pilihan Raya Pas Pusat,” tegasnya.

Beliau berkata, pemilik Facebook atas nama Syarifah Sofea Syed Addul Rashid itu mendedahkan wujudnya satu akaun khas yang membabitkan tiga nama dalam akaun amanah bukan atas nama mana-mana pertubuhan.

“Siapa dia? Ustaz Satiful Bahri iaitu bekas Adun di Terengganu dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu sekarang.

“Yang kedua, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Setiausaha Pas Negeri Terengganu; ketiga, Shukrimun Shamsudin iaitu Bendahari Pas Terengganu. Ketiga-tiga mereka ini adalah pimpinan utama Pas Terengganu.

“Akaun atas nama tiga orang ini telah menerima sejumlah wang RM1 juta daripada disebut Bendahari Umno peringkat pusat.

“Satu lagi akaun disebut Syarifah Sofea Syed Abdul Rashid ini ialah akaun atas nama Jabatan Pembangunan Pilihan Raya Pas Pusat (JPP) yang menerima wang berjumlah RM1.5 juta juga daripada Bendahari Umno,” katanya lagi.

Tiada ulasan: