"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terkangkang LHDN diasak oleh Rafidah Aziz isu RM 2.6billion

Surat terbuka kepada LHDN
Rafidah Aziz

Saya membaca - sejak awal - kisah berkaitan dana "lebih RM2.0 bilion" yang diterima sebagai dana oleh perdana menteri daripada seorang putera bangsawan Saudi.

Saya ditanya, apakah yang terjadi kepada derma berkenaan. Adakah perdana menteri dikenakan cukai atas jumlah yang diterimanya?

Entahlah, saya tak tahu.

Bagaimanapun apabila disemak, didapati peguam negara Apandi Ali dalam kenyataan rasminya mengesahkan bahawa AS$681 juta (RM2.08 billion pada waktu itu) memang dipindahkan ke akaun perdana menteri antara 22 Mac 2013 dan 4 April 2013.

Kenyataan peguam negara dibuat pada 26 Jan 2016 iaitu hampir tiga tahun kemudian.

Tidak lama selepas itu secara rasmi diumumkan "sebahagian daripada derma berkenaan dipulangkan kepada penderma".

Jumlah dana yang dipulangkan itu ialah AS$620 juta daripada jumlah keseluruhan AS$681 juta.

Maksudnya ialah AS$61 juta (kira-kira RM236 .65 juta pada kadar tukaran mata wang asing pada waktu itu) disimpan dalam akaun perdana menteri.

Saya dan rakan-rakan menjadi curiga. Justeru kami mahu bertanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) - tolong jelaskan kepada rakyat:

Adakah derma yang diberi kepada perdana menteri - dan dipindahkan ke akaun persediriannya itu - layak dicukai?
Adakah dia entiti amal yang layak dikecualikan cukai atau tidak?
Adakah derma tidak dianggap sebagai pendapatan dan justeru penerimanya dikenakan cukai?
Jika derma diterima perdana menteri itu dikecualikan cukai, bagaimana ia boleh diizinkan oleh LHDN?
Tolong jelaskan - saya dan rakan-rakan bukan akauntan - kerana kami tidak tahu bagaimana "derma" yang disalurkan kepada individu ditangani.

Adakah perdana menteri menubuhkan entiti amal yang dikecualikan cukai?

Adakah dia menubuhkan akaun amanah yang dikawal selia orang tertentu? Jika ya, siapakah mereka?

Atau adakah dia mengendalikan akaun itu sendiri?

Jika begitu maka kami nak bertanya - adakah perdana menteri mempunyai kawalan penuh bagi menentukan kepada siapa, - dan bagaimana - wang berkenaan dibelanjakan.

Adakah ia untuk:

Kegunaan politik?
Pertubuhan bukan bermatlamatkan keuntungan?
Kebajikan?
Aktiviti-aktiviti bercorak keislaman (disebabkan pernah ada kenyataan mendakwa salah satu tujuan dana untuk perdana menteri itu ialah kerana kerja-kerja beliau yang baik untuk agama)?
Bolehkah LHDN menjelaskan bagaimana pemulangan sebahagian daripada dana itu dikendalikan dari sudut percukaian?

Adakah sebarang bukti bahawa wang itu memang benar-benar dipulangkan?

Tolonglah... kalau ia benar-benar dipulangkan bukti mengenainya mesti ditunjukkan.

Sudahkan LHDN secara rasmi mendapatkan penjelasan mengenai butiran "derma" berkenaan?

Rakyat masih tertanya-tanya banyak soalan sehingga kini.

(Saya dimaklumkan, LHDN begitu bersemangat menyerbu pejabat-pejabat serta premis sektor swasta tertentu untuk mendapatkan semula cukai mereka. Dalam banyak keadaan ia dibuat secara "bayar dulu, penjelasan dibuat kemudian". Malah ada aduan mendakwa selama beberapa tahun LHDN memulangkan lebihan cukai kepada pembayar cukai. Kemudian pada 2017 pembayar cukai sama tiba-tiba dituduh tidak membuat pengisytiharan dan diarah membayar cukai, termasuk tunggakan, serta denda yang berat.)

Mengenai isu derma kepada perdana menteri, sudah tentu ia tidak disebut secara rasmi di mana-mana sebagai sumbangan politik?

Timbalan Perdana Menteri Zahid (Hamidi) berkata dalam kenyataannya: "Derma itu dibuat sebagai tanda keyakinan kepada dia (perdana menteri) serta kepimpinannya dalam isu-isu penting."

Apandi berkata: "Tiada alasan diberikan mengapa derma itu diberi kepada perdana menteri Najib Razak. Itu adalah antara dia dan keluarga Saudi itu."

Adakah mungkin - bagi seorang rakyat biasa Malaysia - memiliki sekian juta dolar AS daripada seseorang dari entah mana, kemudian mengisytiharkannya sebagai "derma" tanpa perlu menyatakan sebab ia diberi sebaliknya sekadar menganggap ia "urusan peribadi" antara pemberi dan penerima?

Mahukah LHDN mempercayai cakap mana-mana individu begitu saja dan tidak akan membuat siasatan bagi mengesahkannya?

Adakah dana yang didakwa derma itu akan dicukai?

Bolehkah LHDN memberikan jawapan? Atau ada piawaian berbeza terpakai untuk orang yang berbeza? Tolong buat penjelasan dan sahkan.

Saya dan kawan-kawan - saya juga pasti, rakyat semua - masih tertanya-tanya dan bingung.

Bolehkah LHDN menyiasat kes ini seperti mereka lakukan ke atas semua kes cukai tidak berbayar dan cukai tertunggak rakyat biasa serta sektor swasta?

Lagu pun dalam kes derma ini secara khusus LHDN tentu bersetuju bahawa jumlah AS$61 juta itu bukanlah kecil. (Itu belum lagi AS$681 juta.)

Lebih daripada itu kes ini melibatkan perdana menteri yang juga menteri kewangan, iaitu seseorang yang bertanggungjawab secara menyeluruh ke atas LHDN.

Oleh kerana itu LHDN perlu menunjukkan piawaian tertinggi dalam amalan pertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Boleh tak ada sesiapa yang memberi pencerahan kepada kami?

Tolong sahkan bahawa derma itu benar-benar diterima perdana menteri dan dipindahkan ke akaun persendiriannya.

Bagaimanapun klip video penjelasannya mengenai hal itu adalah bukti.



Terima kasih,

Rafidah Aziz



Salinan kepada:

Semua akauntan
Semua perunding cukai
TAN SRI RAFIDAH AZIZ bekas menteri kanan dan pernah menjadi ketua Wanita Umno Malaysia.

Tiada ulasan: