"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Jika bertuah boleh dapat semula RM14b dana 1MDB'

Malaysia mungkin mampu mendapatkan semula sehingga RM14.2 bilion dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng seperti dilaporkan Bloomberg semalam.

Jumlah itu adalah 30 peratus daripada kesemua RM50 bilion yang didakwa lesap dari 1MDB, kata Lim.

Tambahnya, kerajaan mungkin mampu mendapatkan semula sekurang-kurangnya 10 peratus atau "jika kita bertuah", 30 peratus daripada jumlah itu.

Jumlah yang dinyatakan Lim itu adalah lebih sedikit berbanding AS$4.5 bilion yang cuba dituntut oleh kerajaan yang disebutkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tak dapat kesan ke mana wang itu dan apa yang mereka beli.

"Apa yang kita boleh kesan pula terdapat persoalan tentang pemilikan kerana proses perundangan dan perbezaan bidang kuasa negara yang terlibat," katanya.

Pada 16 Mei lalu, Dr Mahathir berkata Malaysia akan menghubungi Switzerland, AS, Singapura, dan Luxembourg dalam usaha mendapatkan semula wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Pada 22 Jun pula, Dr Mahathir berkata kerajaan akan cuba mendapatkan semula sejumlah AS$4.5 bilion.

Media melaporkan Malaysia melantik firma guaman Singapura Tan Rajah & Cheah untuk mendapatkan wang berkenaan.

Pendakwa raya Switzeland sebelum ini berikrar akan memulangkan wang yang diseleweng kepada Malaysia.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam usaha menyita aset bernilai kira-kira AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB termasuk kapal layar mewah Equanimity yang dirampas polis Indonesia sebelum ini.

Bagi Lim sendiri, beliau mendedahkan skandal 1MDB selepas menjadi menteri kewangan dan menjangka akan mendedahkan lebih banya skandal bernilai berbilion ringgit.

"Kita akan jelaskan dan mengkaji semula serta mendedahkan kesemuanya dalam tempoh 100 hari, supaya kita boleh selesaikan hal ini.

"Kita tidak hanya mahu memerintah dengan sekadar mendedahkan skandal. Tidak. Kita mahu bergerak ke depan selepas itu," katanya.

Tiada ulasan: