"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khairy Jamaluddin tidak cukup Umno?

ISMAIL YAHAYA 
Adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan kenyataan berbentuk bidasan yang dibuat oleh bekas calon presiden Umno, Khairy Jamaluddin mengenai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang masih “pekak” terhadap suara rakyat dan terus memainkan sentimen perkauman selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam hal ini beliau merujuk kepada tindakan sesetengah pemimpin Umno mempersoalkan pelantikan peguam negara dan ketua hakim daripada kalangan bukan Melayu berbanding isu ekonomi serta sosial masyarakat.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk bekas presiden dan ‘repeat semula’.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datuk Seri Najib Razak), tetapi takkan itu sahaja Umno ‘baharu’. Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” tulisnya di Twitter hari ini.

Sehubungan dengan itu ingin juga dikaitkan dengan kekalahan Khairy dalam pemilihan agong Umno baru-barui ini. Kalau dilihat dari segi hujah-hujah Khairy dalam Debat Calon Presiden Umno di antara Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah yang disiarkan dalam Astro Awani 501, ternyata memang bernas dan kritikal berbanding dengan Zahid sendiri.

Walaupun hujah Tengku Razaleigh daripada soalan-soalan yang ditanya adalah lebih baik daripada Zahid namun mendapat tempat kebelakang dalam kiraan undi.

Kenapakah Khairy yang dikatakan calon muda pilihan untuk menang sebagai calon Presiden Umno tetapi kalah kepada Zahid.

Dalam hal Khairy dikira tidak cukup Umno, tidak tulen, walaupun beliau banyak mengemukakan hujah-hujah bernas dan kritikal untuk `reformasi dan pembaharuan’ Umno bagi menghadapi cabaran sebagai parti pembangkang.

Apa yang dimaksudkan dengan tidak cukup Umno itu? Ia bermaksud Khairy masih tidak cukup Melayu dan tidak cukup Islam.
Tidak cukup Melayu dan tidak cukup Islam adalah tidak memenuhi kriteria Umno.

Khairy memang tidak cukup Melayu, untuk meminjam kata Wan Faysal dalam FB kerana Zahid adalah hulubalang Melayu, seolah-olah menyamai taraf perwira. Rasanya Khairy pernah sebut pasal isu `Warload’ ini.

Inilah budaya Umno yang bermaharajalela dalam budaya politik Umno, patriarch atau naungan iaitu yang harus dipayungi. Orang Melayu dalam Umno akan berada di bawah naungan hulubalang ini dan kesetiaan buta walaupun terdapat khilaf kepada pemimpinnya.

Jika tidak percaya lihatlah kepada Umno bahagian Pekan bagaimana mencium tangannya mereka kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Khairy nampak tetapi tidak cuba memahaminya.

Menurut Wan Faysal Zahid adalah pemimpin politik legenda Ahl al Sunnah wal Jammah Nizam Al Mulk.

Jelasnya ia sukar difahami oleh mereka yang liberal tinggal di bandar dan tidak memahami sepak terjang politik hulubalang Melayu Umno.

Jika kita teliti tidak dinafikan Zahid mempuyai banyak kekurangan tetapi beliau memahami jiwa dan hati ahli Umno sedangkan Khairy adalah lulusan Oxford, anak bekas diplomat yang banyak menghabiskan masa di luar negara.

Jika buat pencarian di Google Search, Zahid adalah bertanggung jawab dalam memperkasakan World Sufi Centre pertama di Asia dan memimpin banyak persatuan Islam di bawah pengaruh Umno. Bahkan piala Marhaban Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah diadakan.

Zahid cuba menghidupkan semula ISTAC kepada kegemilangannya dahulu. Tidak cukup Islam di sini bermakna dari segi kepimpinan Melayu Islam dalam Umno pada mata pandangan ahli Umno.

Walaupun ada kebenaran kepada apa yang diterangkan Khary tentang pembaharuan Umno dan kritikannya kepada kesilapan pemimpin Umno dan orang Melayu kepada kritikan terus dan langsung seperti itu, sedangkan Zahid mempunyai gaya dan cara tersendiri berhemah dan beradab dan tidak menjurus secara langsung.

Cara Khairy dan Tengku Razaleigh mengikut budaya PH bersikap telus dan terbuka tidak disukai ahli Melayu dalam Parti Kebangsaan Melayu Bersatu dan ini bukannya budaya Umno yang mereka cuba terapkan sekarang.

Walaupun terdapat ahli Umno yang mahukan sikap terbuka tetapi majoriti ahli Umno khususnya di kawasan luar bandar dan kepimpinan majlis tertinggi tidak menyukai cara yang dikehendaki Khairy dan Tengku Razaleigh.

Jika diteliti dalam masyarakat Melayu tradisional, konsep taat setia sering digunakan demi menjaga kepentingan raja.

Konsep taat setia ini lebih merujuk kepada kepentingan seluruh golongan kelas masyarakat. Kesetiaan yang tidak berbelah itu bukannya untuk diri orang Melayu semata-mata tetapi berkaitan dengan matlamat yang lebih besar sehingga mencakupi keistimewaan golongan pemerintah.

Walaupun unsur-unsur feudal dalam budaya politik Melayu masih tebal dan sukar untuk dihapuskan, sifat taat setia, akur, rendah diri yang ditunjukkan oleh rakyat sebagai balasan berterima kasih.

Pembudayaan ini merupakan sebahagian daripada sikap politik dalam budaya kepimpinan Umno. Pada masa sama, nilai hubungan feudal atau antara yang memerintah dan yang diperintah masih mengandungi ciri-ciri yang terhasil daripada suatu hubungan yang baru terbentuk.

Budaya politik Melayu era neo-feudal telah mengalami proses konstruksi budaya politik dari aspek bentuk dan amalannya jika dilihat dari segi hubungan antara penaung dan yang dinaung.

Bukan sahaja budaya Umno ini telah dikonstruksikan dan berakar umbi dalam jiwa masyarakat Melayu, tetapi ia perlu dibina semula bagi mewujudkan suatu budaya politik yang relevan dengan amalan negara Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Mentaliti yang telah dibentuk sejak zaman lampau seolah-olah satu ‘budaya’ yang terkawal atas dasar nilai taat setia, akur, submisif yang terlalu tinggi.

Sebagai contoh, pemimpin politik Melayu tidak seharusnya dicabar seperti jawatan presiden dalam Umno. Inilah manifestasi masyarakat neo-feudalisme Melayu yang telah dikonstruksi dalamannya.

Perbincangan tentang konsep neo-feudalisme ini banyak menjelaskan tentang penerusan amalan bercirikan feudal dalam pemilihan agung Umno baru-baru ini.

Seperkara lagi yang hendak dilihat ialah Khairy tidak menjawat jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden dalam Umno daripada pertandingan di perhimpunan agung Umno maka beliau seperti melanggar tradisi kepimpinan dalam Umno.

Oleh itu walaupun Khairy ternyata cuba memulihkan Umno sebagai parti yang boleh membawa kemenangan pada pilihan raya ke-15, jika dilihat kepada kemenangan Zahid, ini bermakna mentaliti Melayu Umno tidak akan berubah dalam masa terdekat ini.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).
-malaysiadateline

Tiada ulasan: