"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akar umbi mahu PKR angkat Wan Azizah ketua umum, Rafizi layak tanding timbalan

Faiz Zainudin 

PETALING JAYA:PKR digesa tidak meminggirkan terus Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail susulan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim mahu bertanding jawatan presiden parti itu dalam pemilihan bulan depan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPP), Azan Ismail membuat desakan itu sambil mencadangkan Wan Azizah diberi peranan sebagai ketua umum.

“Kedudukan Wan Azizah begitu strategik dalam kepimpinan PKR dan pengalaman beliau mengemudi parti selama belasan tahun sangat berguna. Beliau juga adalah lambang kepimpinan wanita di Malaysia dengan status sebagai wanita pertama menjawat jawatan timbalan perdana menteri.

“Wan Azizah perlu diletakkan di kedudukan sebagai ketua umum dan Anwar sebagai presiden. Beliau boleh berfungsi sebagai peneraju pembangunan wanita di bawah Malaysia baru.

“Beliau juga menteri wanita, jangan biarkan hanya menjadi ahli biasa, itu kami tak setuju,” kata Azan yang juga pengerusi PKR Terengganu kepada FMT.

Azan berkata PKR Terengganu turut berpandangan, selain Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Rafizi Ramli juga antara individu yang layak diangkat sebagai timbalan presiden bergandingan dengan Anwar menerajui parti.

“Kedua-dua mempunyai kelebihan masing-masing terutamannya Rafizi yang masih muda dan belum ‘lelah’ dan tidak dibebani dengan jawatan besar dalam negara. Dalam masa sama Azmin mempunyai kedudukan penting dalam negara juga boleh membantu memperkuatkan parti kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan.

“Dua-dua individu ini layak untuk jawatan timbalan presiden dan keputusannya akan ditentukan ahli PKR,” katanya.

Bekas Adun Bandar itu juga berkata beliau tidak gemar membuat perbandingan antara individu yang layak, tetapi adalah penting jawatan timbalan presiden diisi mereka yang boleh membantu presiden menerajui parti.

“Calon timbalan presiden mesti sanggup menggalas kedudukan memperkukuh kedudukan Anwar, memperkuat kedudukan presiden bagi tugas besar menerajui PKR,” katanya.

Anwar hari ini secara rasmi menamatkan spekulasi apabila mengumumkan bertanding merebut jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan seluruh pucuk pimpinan PKR bagi merebut jawatan yang kini disandang Wan Azizah.

Azan berkata PKR Terengganu sebulat suara menyokong keputusan Anwar dan ia merupakan penantian yang lama ahli parti untuk melihat “Bapa Reformasi” itu menjadi presiden.

“Ini adalah perkembangan yang lama ditunggu terutama oleh rakyat Terengganu yang merupakan negeri terawal menyambut gelombang reformasi pada tahun 1998,” katanya.

Tiada ulasan: