"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seri Perdana 'dipecah masuk' - Anina salahkan Dr M (Gambar)

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dipersalahkan bekas anggota Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin atas dakwaan 'kecurian' di bilik stor di Seri Perdana, yang dikatakan mengandungi barangan milik Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menerbitkan gambar bilik stor tersebut yang kelihatan telah digeledah, pada akaun Facebooknya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Pemangku Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata setakat ini tiada laporan dibuat mengenai dakwaan itu.

"Di mana dia dapat cerita ini? Setakat ini, pihak polis berlum lagi menerima sebarang laporan," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam hantaran di Facebook itu, Anina berkata kejadian terjadi kerana Dr Mahathir didakwa menghalang Najib daripada mengambil barangan peribadinya.

'Inspektor sahab'

"Tun tengok lah sendiri apa yang jadi? Disebabkan Tun tak bagi Datuk Seri Najib ambil barang-barang peribadi beliau, maka ianya kini telah dimasuki pencuri yang mengambil barang-barang tersebut.

"Kenapa zalim sangat tindakan Tun ini? Itu barang-barang milik peribadi. Begini kah layanan kepada seorang bekas perdana menteri? Apakah ini sikap seorang pemimpin negara yang mahu Tun tunjukkan kepada generasi muda? Bukan kah mereka yang mengundi Tun hari tu?" Soal beliau.

Dalam hantaran itu juga, Anina seakan menyindir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh yang menyiasat skandal 1MDB dengan menyebut perkataan Hindi 'inspektor sahab'.

"Jadi Tun, tolonglah suruh inspektor sahab buat siasatan tentang perkara ini," katanya.

Perkataan 'sahib' atau 'sahab' digunakan untuk menjelaskan kedudukan pihak yang berkuasa.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Najib mengesahkan bilik stor tersebut telah dipecahkan dan gambar di halaman Facebook Anina adalah tulen.


Menjelaskan motosikal roda tiga Can-Am dalam gambar itu, sumber berkata: "Saya percaya ia adalah hadiah kepada bekas perdana menteri dari pengedar atau pengilang."

Rumah besar di Putrajaya yang menjadi kediaman rasmi perdana menteri itu kini kosong, memandangkan Mahathir mahu kekal di kediamannya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: