"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dewan Rakyat dilanda ‘ribut’ lebih sejam, Ramkarpal dikritik ramai penyokong PH

MALAYSIA DATELINE 
Keengganan Ramkarpal menarik balik panggilan ‘samseng’ menyebabkan Parlimen pagi semalam berterusan bising lebih sejam sehingga Dewan Rakyat berhenti rehat.

Rakyat berbilang kaum termasuk penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) rata-ratanya mengkritik Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang dianggap bersikap tidak selari dengan semangat Malaysia Baru.

Reaksi awam itu termasuk di Facebook rasmi anak mendiang Karpal Singh itu yang menasihatkannya supaya lebih menjaga bahasa yang diucapkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kekecohan di Dewan Rakyat semalam berlaku apabila Ramkarpal berdalih dan enggan menarik balik perkataan ‘gengster’ terhadap Pemuda Umno yang didakwanya terbabit dalam insiden pergaduhan dengan mendiang ayahnya beberapa tahun lalu.

Akibatnya, dewan menjadi riuh seperti pasar borong ketika sesi perbahasan titah diraja itu sehingga menyaksikan sesi pagi Dewan Rakyat itu terus hingar lebih sejam.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang tegas menuntut Ramkarpal akur terhadap arahan Timbalan Yang Di-pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada awal sesi perbahasan supaya menarik balik penggunaan perkataan samseng.

Bagaimanapun, perang mulut antara pembangkang dan penyokong kerajaan berterusan hingga Dewan Rakyat berhenti rehat selepas Rashid menganggap pertikaian isu penggunaan perkataan itu sudah selesai sejurus mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan untuk tidak mengulanginya.

Mengulas insiden itu, pengguna Facebook Norma Abdullah dalam komentarnya di Facebook Ramkarpal mengakui Umno sememangnya samseng tetapi beliau juga menasihatkan pemimpin DAP itu supaya tidak mengeluarkan bahasa kesat di Parlimen.

“Anda mewakili rakyat. Jangan lupa hal itu,” katanya.

Sementara itu, Tilega Vathi menulis, “Kami memilih anda untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi anda perlu bekerja dengan baik dan menghormati orang lain.”

Bagi Janice Thomas pula, beliau juga tidak menafikan Umno samseng tetapi pada masa sama, tegasnya, wakil rakyat PH mesti bijaksana dalam meletakkan kata-kata selain mengucapkan sahaja minta maaf jika sudah terlepas cakap.

Pada masa sama, ramai memuji sikap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang disifatkan memulakan tanggungjawabnya dengan baik tanpa pilih kasih.

Ariff yang kemudiannya mengendalikan sidang sesi petang membuat keputusan drastik mengarahkan Ramkarpal keluar Dewan Rakyat dan menggantung Ahli Parlimen DAP itu selepas amaran kali kedua supaya Ramkmenarik balik kenyataan itu tidak dipatuhi.

Ariff, 69, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib AMANAH itu mengeluarkan perintah tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2).

Sehubungan itu, rakyat mengingatkan wakil rakyat sama ada dari blok kerajaan dan pembangkang supaya menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk berdebat secara bijak dan matang.

Ramai berharap perbahasan di Dewan Rakyat pada era Malaysia Baru ini berdebat hal berkaitan kepentingan rakyat bukannya lagi terlalu riuh hingga di luar kawalan seperti pasar borong lantaran mementingkan sentimen peribadi dan politik kepartian.

Tiada ulasan: