"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ayah Lie didenda kerana 'mengajar' wanita dalam kereta

Seorang duda separuh abad - yang juga pendakwah dan dianggap ulama - mengaku salah berkhalwat dengan salah seorang pelajarnya dalam sebuah kereta pada Okt tahun lalu.

Ekoran pengakuan bersalah itu tertuduh yang terkenal dengan gelaran Ayah Lie dikenakan hukuman denda RM2,500 oleh hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.

Berdasarkan dokumen mahkamah Ayah Lie ditahan semasa berdua-duaan dengan pelajar berusia 28 tahun itu di dalam sebuah kereta di Taman Pulau Warisan.

Jika gagal menjelaskan denda tersebut tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Menurut laporan Sinar Online, semasa ditahan pelajar terbabit duduk di tempat pemandu namun badannya dibaringkan pada paha Ayah Lie di sebelahnya.

"Terkejut dengan kehadiran penguat kuasa, wanita tersebut terus bangun manakala lelaki itu menarik zip seluarnya ke atas," kata portal berita berkenaan.

Dalam perbicaraan hari ini wanita terbabit yang turut bekerja sebagai pembantu kedai makan juga mengaku salah.

Tawar ilmu secara percuma

Justeru dia dikenakan denda RM2,000 atau dua minggu penjara jika gagal menjelaskannya.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mengikut peruntukan berkenaan pesalah boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Mohd Azlan Md Noor bertindak sebagai pendakwa manakala perbicaraan dihakimi Mohd Fakhruddin Yusof.

Semasa menyampaikan penghakimannya, Mohd Fakhruddin menyatakan kekesalan kepada Ayah Lie yang melakukan perbuatan tersebut sedangkan dia mengajar kitab-kitab agama.

"Sepatutnya kamu lebih tahu tentang halal dan haram serta dosa dan pahala kerana kamu seorang yang disegani masyarakat, dan antara tenaga pengajar agama tersohor di tempat kamu.

"Tetapi amat menyedihkan, kamu sanggup mengambil kesempatan ke atas pelajar sendiri yang ingin menuntut ilmu agama - difahamkan disediakan secara percuma oleh kamu - kononnya ingin menarik minat pemuda-pemudi di tempat kamu untuk belajar agama," katanya.

Tiada ulasan: