"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Morsi berasa bangga dengan negaranya meskipun berdepan ketidakadilan , kata peguamnya

Presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi, meninggal dunia pada Isnin ketika perbicaraan kes “pengintipan” yang dihadapinya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan stesen penyiar rasmi.

Morsi, 67, telah meminta kebenaran untuk bercakap ketika sesi perbicaraan sebelum beliau pengsan dan meninggal dunia.

Akhbar Al-Watan, yang memetik kenyataan sumber kehakiman, melaporkan bahawa Morsi bercakap selama 25 minit “kemudian berhenti dan kelihatan letih sebelum pengsan dalam kandang tertuduh.”

Peguam Morsi, Abdel-Monem Abdel-Maqsoud, berkata pasukan pembelaan menerima berita mengenai kematiannya daripada defendan lain yang berada bersama-sama beliau semasa sesi perbicaraan itu.

Abdel-Maqsoud memaklumkan Anadolu bahawa semasa sesi perbicaraan terakhirnya, Morsi berkata beliau akan tetap berasa bangga dengan negaranya meskipun “berdepan ketidakadilan” selepas digulingkan.

“Saya tahu rahsia yang tidak mungkin saya dedahkan demi keselamatan negara saya,” Morsi dipetik sebagai berkata oleh peguamnya.

Peguam itu berkata Morsi turut mengkritik cara beliau dilayan di penjara.

Pendakwa Raya Mesir Nabil Sadek, dalam satu kenyataan menyebut bahawa jenazah Morsi telah dibawa ke hospital dan tidak terdapat sebarang tanda kecederaan pada tubuhnya.

“Semasa defendan Mohamed Morsi hadir dan berada dalam kandang tertuduh di mahkamh bersama defendan lain, beliau pengsan dan jatuh sebelum segera dibawa ke hospital di mana beliau disahkan meninggal dunia,” kata Sadek.

Jenazah bekas presiden itu telah dibawa ke sebuah hospitak berhampiran, lapor akhbar Mesir Al-Youm Al-Sabe.

Morsi berdepan pelbagai pertuduhan sejak beliau diguling dan dipenjarakan dalam kudeta tentera pada 2013, yang dipimpin Presiden Abdel-Fattah al-Sisi.

Terdapat enam pertuduhan terhadap bekas pemimpin itu termasuk “melarikan diri dari penjara, melakukan pembunuhan, mengintip untuk Qatar, mengintip untuk Hamas dan Hezbollah, menghina badan kehakiman dan penglibatan dalam keganasan.”– BERNAMA

Tiada ulasan: