"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa dalam senarai saman pelucutan hak SPRM?

Malaysiakini
PANDUANKINI | Latheefa Koya mengambil langkah pertamanya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dengan mengumumkan bahawa suruhanjaya itu sedang berusaha mendapatkan semula RM270 juta aset yang berkaitan 1MDB.

Daripada 41 pihak yang didakwa telah menerima dana daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, 15 adalah entiti politik.

Daripada senarai yang dikeluarkan SPRM itu, lapan bahagian Umno (termasuk dari wilayah persekutuan) didakwa terlibat iaitu dari negeri Selangor, Kedah, Johor, Sabah, Perak, Kelantan, Pahang dan Pekan (Pahang).

Latheefa berkata sebahagian besar daripada wang itu - iaitu RM212 juta (78.5 peratus) - akan dituntut daripada Umno.

Selain itu, turut didakwa menerima dana tersebut adalah BN Johor Bahru, Wanita MCA, MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokrasi Liberal Sabah (LDP).

Umno berikrar untuk berdepan saman pelucutan hak itu di mahkamah.

Manakala MCA menjelaskan bahawa mereka tidak menyedari sumber dana yang diterima pada tahun 2013.

Dalam PANDUANKINI ini, Malaysiakini melihat lebih dekat beberapa individu, yayasan dan syarikat yang disebut dalam pelucutan hak sivil SPRM.

Senarai ini dibekalkan oleh SPRM dalam sidang media semalam.

Ibrahim Awang Ismail

Laporan berita sebelumnya telah menamakannya sebagai pengerusi biro pendidikan Umno Pekan. Dari tahun 2008 hingga 2013, dia adalah wakil rakyat Peramu Jaya, sebuah kawasan di bawah kerusi Parlimen Pekan.

Kasitah Gaddam

Seorang ahli politik Umno Sabah yang menjadi menteri pembangunan tanah dan koperasi dari tahun 1999 hingga 2004.

Ismail Abd Muttalib

Ahli Parlimen Maran selama empat tahun. Dia adalah timbalan menteri sumber manusia dari tahun 2013 hingga tahun lepas apabila BN kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-14.

Hasan Malek

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah dan pernah menjadi menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan dari 2013 hingga 2015.

Sim Sai Hoon

Juga dikenali sebagai Rita Sim, dia adalah pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd. Beliau pernah menjadi pengarah eksekutif Sin Chew Media Corp Bhd.

Seorang saksi dalam perbicaraan SRC International Najib yang kini sedang berjalan. Sebelum ini dia memberi keterangan bahawa dia menerima RM300,000 daripada bekas perdana menteri itu untuk menjalankan analisis harian akhbar Cina dari Disember 2014 hingga Januari 2015.

Abdul Manan Ismail

Pernah menjadi ahli parlimen Umno Paya Besar selama dua tahun, meninggal dunia pada Februari 2018. Allahyarham juga pernah menjadi ketua bahagian Umno Paya Besar.

Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia

Sebuah organisasi belia yang ditubuhkan pada tahun 2011 untuk menyokong kempen 1Malaysia yang diasaskan Najib.

Yayasan PBAKM

PBAKM bermaksud Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia, sebuah organisasi untuk bekas pekerja Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Yayasan itu bertujuan menjaga kebajikan bekas pegawai Kemas dan keluarga mereka.

Binsabi Sdn Bhd

Sebuah syarikat penganjur acara yang ditubuhkan pada tahun 2010 oleh Sabiamad Abdul Ahad.

Menurut laman webnya, senarai bekas kliennya termasuk Pejabat Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pelancongan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Umno.

Rayhar Travels Sdn Bhd

Sebuah agensi pelancongan yang menumpukan kepada ibadah umrah dan haji, mereka juga menawarkan pakej percutian halal ke tempat lain.

Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya menerima bayaran tersebut dari seorang individu yang menaja rakyat kawasan Pekan bagi mengerjakan umrah pada tahun 2013.

K & Z Enterprise Sdn Bhd

Pengilang pakaian yang berpusat di Johor. Menurut laman webnya, mereka mempunyai kilang di Kemboja dan eksport ke UK, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

IPG Mediabrands Sdn Bhd

Sebuah agensi pemasaran antarabangsa, pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Media Edge CIA (M) Sdn Bhd

Syraikat media antarabangsa di bawah kumpulan syarikat GroupM, pejabat mereka di Damansara, Kuala Lumpur.

Hattatex Trading

Kedai tekstil terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Jakel Trading & Jakel Trading Sdn Bhd

Pemborong dan pengedar tekstil yang terkenal. Menurut laman webnya, antara lain mereka menyediakan "pakaian untuk pekerja sektor kerajaan".

Selain itu Jakel mempunyai kepentingan perniagaan dalam pembangunan hartanah dan pusat membeli-belah.

Perano Sdn Bhd

Anak syarikat Jakel Trading Sdn Bhd yang memiliki kedai Galeri tudung dan selendang, jenama Hajra .

AGA Touch (M) Sdn Bhd

Berpusat di Kota Kemuning, Selangor, mereka memperkenalkan diri sebagai "platform penyelesaian pelbagai perniagaan" berkaitan data besar (big data).

Menurut laman webnya, beberapa pelanggan yang pernah menggunakan khidmat mereka termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC).

Habib Jewels Sdn Bhd

Syarikat menjual emas terkenal tempatan yang beribu pejabat di Ampang, Selangor.

Habib berkata semua transaksi syarikat mereka dilakukan dengan telus dan mempunyai rekod.

Naza Quest Auto Sdn Bhd

Naza Group merupakan pengedar General Motors dari AS yang merupakan pengeluar kereta jenama Chevrolet. Syarikat itu melepaskan hak pengedaran Nov lalu.

Naza Group berkata pihaknya sudah menerima notis yang memaklumkan SPRM memfailkan permohonan melucutkan wang bernilai RM269,662 daripada Naza Quest Sdn Bhd berhubung dengan pembelian empat kereta Chevrolet.

Bustari Yusof

Beliau digambarkan sebagai "orang kanan" Najib, ahli perniagaan Sarawak yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk ladang, penjagaan kesihatan, pembinaan serta minyak dan gas.

Dia adalah pemegang saham utama dalam kumpulan minyak dan gas Petra Energy Bhd.

Dia juga merupakan saudara kepada bekas menteri kerja raya BN Fadillah Yusof.

Yayasan Penyelidikan Transformasi (Fort)

Yayasan yang ditujukan untuk menyelidik "transformasi", diketuai oleh penasihatdan pembantu khas Najib, Khairil Annas Jusoh.

Pada 2016, Najib telah merasmikan buku 467 muka surat oleh Fort yang meraikan 40 tahun bekas perdana menteri itu dalam politik.

Yayasan Rahah

Dinamakan sempena nama ibu Najib, Rahah Mohammad Noah, program tersebut berasaskan kebajikan dan pendidikan untuk kanak-kanak dan Orang Asli.

Yayasan ini juga dikatakan menawarkan biasiswa kepada universiti tempatan.

Tiada ulasan: