"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


'Lari ke Bangkok sebab rasa takut dengan Najib'

BERNAMA

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau dan isteri melarikan diri ke Bangkok, Thailand.

Langkah ini diambil kerana beliau berasa takut kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih berkuasa sebagai Perdana Menteri selepas beliau ingin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu SRC.

Menceritakan mengenai perkara itu, Suboh, 68, saksi pendakwaan ke-42 berkata pada 2015, beliau telah menghubungi pejabat SPRM untuk membuat temu janji bagi menjelaskan berkenaan isu SRC yang sedang disiasat oleh SPRM.

“Sebelum saya pergi ke pejabat SPRM, saya menerima satu panggilan daripada seseorang saya tidak kenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil SPRM dan menyatakan kepada saya agar tidak pergi ke pejabat SPRM seperti mana yang dijanjikan dan mengarahkan saya untuk meninggalkan Malaysia.

Saya rasa takut dengan keadaan yang sedang berlaku dan juga kerana Datuk Seri Najib masih berkuasa sebagai Perdana Menteri pada masa itu. Saya tidak tahu apa yang mungkin boleh berlaku kepada saya dan keluarga, “ katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-29 perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Suboh berkata, beliau membuat keputusan untuk melarikan diri ke Bangkok, Thailand bersama isterinya dan tinggal di sana selama lebih kurang sebulan dengan segala kos ditanggung sendiri. Beliau berkata, semasa di Bangkok, beliau telah bertemu dengan seorang lelaki Thailand yang menyerahkan tiket penerbangan untuknya dan isteri ke Abu Dhabi dan beliau dan isteri menaiki penerbangan ke Abu Dhabi dari Bangkok.

Katanya, ketika di Abu Dhabi, beliau telah dibawa ke Hotel Rosewood oleh seorang lelaki Arab dan tinggal di sana selama lebih kurang seminggu dan segala kos tiket penerbangan dan penginapan telah diatur untuknya tetapi beliau tidak tahu siapa yang menanggung kos tersebut.

“Saya kemudian telah menaiki penerbangan kembali ke Bangkok dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Setelah kembali, saya telah dihubungi oleh Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif SRC ketika itu) yang mengarahkan saya untuk melarikan diri lagi sekali dari Malaysia dan untuk mengelakkan diri daripada pihak berkuasa.

Saya membuat keputusan untuk tidak melarikan diri lagi dan untuk kekal di Malaysia dan membantu siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya yang membacakan penyataan saksi dengan perlahan-lahan kerana beliau tidak berapa sihat. - Bernama

Tiada ulasan: