"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin veteran pembangkang dalam usaha tinggalkan parti, dedah Presiden AMANAH

AKMAL MANAF
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mendedahkan, terdapat pemimpin-pemimpin veteran daripada parti pembangkang iaitu Umno dan Pas sedang berusaha meninggalkan kedua-dua parti tersebut.

Tanpa memberitahu nama-nama pemimpin veteran yang dimaksudkan itu Mohamad berkata, mereka sedang berusaha keluar daripada parti pembangkang dan memasuki parti kerajaan, sama ada AMANAH, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sekarang ini mereka cuba untuk menyertai parti kerajaan dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menguatkan kedudukan orang Melayu dan juga memberikan keseimbangan.

“Bagi kita, tuduhan-tuduhan yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak mempedulikan Melayu, pengkhianat Melayu itu adalah tuduhan semata-mata.

“Dari dulu lagi saya menolak pandangan tersebut (tidak peduli dan pengkhianat Melayu), yang melingkupkan Tabung Haji (TH) tiada seorang pun pemimpin DAP dalam TH.

“Yang melingkupkan Felda tiada seorang pun orang DAP dalam Lembaga Pengarah Felda. Melayu lah yang melingkupkan Melayu.

“Kita memerlukan ramai wakil rakyat Melayu dalam PH bertujuan untuk keharmonian dan keseimbangan antara kaum dalam pemerintahan. Ia bukan soal selama ini kita menjadi tunggangan parti itu dan ini,” katanya dalam rancangan temu bual Soal Rakyat TV3, malam tadi.

Rancangan selama satu jam bertajuk ‘Bersama Menteri Pertahanan’ itu dihoskan oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Fiza Sabjahan.

Presiden AMANAH itu mengulas demikian ketika hos menanyakan soalan mengenai bagaimana perancangan yang telah dilakukan AMANAH, khususnya di peringkat akar umbi bagi memastikan parti tersebut akan terus kukuh dan utuh.

Susulan pertanyaan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan, walaupun parti AMANAH baru berusia 3 tahun, namun jumlah terbaharu keahlian parti tersebut telah melebihi 120,000 dan ianya berkembang.

“Perkembangan ini semakin ketara apabila sahnya perkahwinan Umno dan Pas, kerana orang-orang Melayu sekarang melihat perkahwinan dua parti itu, memang pada sepintas lalunya kita lihat mereka kuat.

“Tetapi, perubahan sikap dalam kalangan pemimpin-pemimpin veteran terutama sekarang ini, sedang berusaha untuk meninggalkan kedua-dua parti tersebut,” jelas Mohamad yang juga Menteri Pertahanan.

Tiada ulasan: