"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa PAS lebih sedia terima Dr M sebagai PM berbanding Anwar

Minderjeet Kaur -

PETALING JAYA:
Anggapan bahawa Anwar Ibrahim lebih mudah dipengaruhi oleh pihak di luar PKR adalah salah satu sebab kenapa PAS lebih cenderung menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri hingga pilihan raya umum akan datang, kata seorang pemimpin kanan parti Islam itu.

“Kami bimbang Anwar akan dipengaruhi oleh DAP dan parti lain,” kata Che Abdullah Mat Nawi, ahli Parlimen Tumpat dan setiausaha perhubungan PAS negeri Kelantan.

Che Abdullah memberitahu FMT bahawa partinya lebih mempercayai Mahathir kerana beliau ‘kelihatan tidak dipengaruhi” oleh mana-mana pihak selain partinya PPBM.

“PAS, Umno dan DAP tidak boleh mempengaruhinya,” kata beliau.

Che Abdullah Mat Nawi.
Beliau menjelaskan kenyataan terbaru Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan idea untuk membiarkan Mahathir terus memimpin negara sehingga mandat Pakatan Harapan (PH) tamat.

Beliau berkata, PAS juga bimbang bahawa Anwar tidak mendapat sokongan penuh daripada pemimpin PKR dengan memberi contoh kemenangan Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR walaupun “tidak disokong” oleh pemimpin tertinggi parti itu.

“Ini bermakna Azmin tidak bersendirian,” katanya.

Beliau menyifatkan Azmin sebagai “orang baik” dan berkata, ini merupakan sebab kenapa beliau mendapat sokongan PAS ketika menjadi menteri besar Selangor.

Katannya, perebutan kuasa yang berlaku dalam PKR adalah tidak baik untuk negara.

“Kami mahu PH memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan ke atas kehidupan rakyat,” katanya.

“Oleh sebab itu, kami fikir adalah lebih baik untuk membiarkan Mahathir kekal sebagai perdana menteri hingga pilihan raya umum akan datang.”

Tiada ulasan: