"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak hadir mesyuarat PKR: 'Azmin boleh hilang jawatan'

B Nantha Kumar

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali boleh kehilangan jawatan yang disandangnya kerana tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik sejak pemilihan parti itu pada November 2018, menurut bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala.

Bagaimanapun, katanya, peraturan itu terpakai jika Azmin tidak dapat mengemukakan sebab yang wajar bagi menjelaskan ketidakhadirannya dalam mesyuarat parti.

Katanya, perlembagaan parti menetapkan seseorang pemimpin yang tidak hadir ke mesyuarat MPP sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa alasan munasabah boleh dianggap telah meletakkan jawatan.

"Ya, saya boleh sahkan (peraturan parti ini). PKR memang ada perlembagaan untuk berbuat demikian.

"Kalau tidak hadir tanpa alasan itu kira 'ponteng'. Tidak hadir tiga kali tanpa alasan boleh ambil tindakan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya lagi, seorang pemimpin yang tidak hadir ke mesyuarat MPP perlu memaklumkan kepada setiusaha agung parti.

"Bagi mesyuarat, setiausaha agung merupakan orang 'paling kuat'. Jadi, kena beritahu kepadanya," tambah beliau.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Azmin tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak November 2018.

"Kehadiran (mesyuarat) Biro Politik kosong, kehadiran (mesyuarat) Majlis Pimpinan Pusat kosong," katanya ketika dihubungi Malaysiakini menerusi Whatsapp.

Saifuddin yang juga menteri kabinet berkata Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.

"Tidak pernah dinyatakan alasan."

Fasal 21.16 Pelembagaan PKR menyatakan: "Mana-mana ahli pimpinan pusat mungkir menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai meletakkan jawatan di dalam Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pimpinan Pusat berhak menguatkuasakan fasal ini'.

Bagaimanapun, Timbalan Setiusaha Agung PKR Dr Edmund Santhara (gambar, tengah, tiga dari kiri) ketika dihubungi mempertikaikan andaian Azmin tidak hadir ke mesyuarat tanpa mengemukakan sebab.

"Tanpa alasan? Mohon nyatakan sumber anda. Saya difahamkan beliau (Azmin) adalah menteri kanan dan sangat sibuk.

"Beliau juga banyak menyumbangkan masa dan tenaga untuk menyelesaikan masalah ekonomi, termasuk Felda dan banyak lagi GLC dibawah perhatian beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Menjelaskan kenyataannya hari ini, Edmund berkata ia dibuat dalam kapasitinya sebagai MP Segamat dan Anggota MPP PKR dan bukan sebagai timbalan setiausaha agung parti.

"Saya menjawab sebagai MP Segamat dan Ahli MPP, dan bukannya sebagai timbalan ketua setiausaha agung.

"Kerana soalan itu perlu dijawab oleh Presiden (PKR Anwar Ibrahim) mengikut konvensyan kerana melibatkan pimpinan tertinggi parti," katanya lagi.

Selanjutnya, Edmund juga berkata klausa (Fasal 21.16 Perlembagaan PKR) tidak pernah dipakai sebelum ini.

"Klausa ini, tidak pernah dipakai sebelum ini mengikut konvensyen, sebab biasanya mereka akan membuat panggilan kepada pengerusi (ataupun whatsapp) ataupun telah ada persefahaman di antara mereka.

"Maka, mohon jangan membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap," katanya.

Beliau turut menyifatkan pengesahan Saifuddin bahawa sebagai Azmin tidak hadir sejak 2018 tanpa memberi alasan cuma pendapat peribadi beliau.

"Itu merupakan pendapat beliau. Sejak, presiden dan timbalan presiden masih dalam komunikasi. Saya ingat ini lebih atas dari pangkat dia," jelasnya.

Tiada ulasan: