AHMAD LUTFI OTHMAN
Agensi berita nasional, Bernama cuba popularkan Muhyiddin sebagai “bapa kebajikan”. Kata seorang sahabat, Bernama sedang memainkan peranan seperti akhbar Utusan dahulu.
Ya, Muhyiddin sibuk mengagihkan khazanah negara bagai rampasan perang untuk tambat kesetiaan kepadanya bagi menjamin kerusi perdana menteri yang dicurinya daripada pintu belakang itu.
Saiz Kabinet dibesarkan dan jawatan timbalan menteri ditambah. Pengerusi GLC yang berimbuhan lumayan dibedak-bedakkan, khususnya dalam kalangan ahli Parlimen, termasuk syarikat strategik negara yang selama ini jarang disentuh orang politik. Personaliti bermasalah turut dilantik meskipun dipertikai integritinya.
Pengisytiharan harta dan aset oleh jemaah menteri, seperti diamalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kini senyap sepi. Kerajaan Muhyiddin memang tiada iltizam politik dan janji-janji pembaharuan untuk rakyat pun.
Rakyat memang muak dengan perbincangan politik murahan tetapi amat dahagakan perbahasan politik tahap tinggi, berkaitan dasar dan hala tuju negara serta perubahan yang diperlukan segera.
Kita mahu status negara dapat diangkat ke liga negara-negara maju, bermaruah dan setanding di peringkat antarabangsa. Tiada lagi berita-berita yang memalukan.
Muhyiddin juga dipaparkan sebagai negarawan yang tidak bermain politik, satu ilusi yang palsu. Sedangkan dialah yang menyusun gerak politik untuk merampas kuasa rakyat pada hujung Februari lalu.
Sila dengar klip audio mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu yang dibocorkan itu. Mahathir pun dihenyaknya.
Tidak berani ke Parlimen, sebaliknya hanya membaca perutusan khas melalui kaca TV, tanpa perbahasan dan proses semak-imbang. Mudahnya khazanah negara berbilion ringgit dibelanjakan tanpa penelitian lanjut wakil-wakil rakyat. Tunggulah, akan terdedah nanti kes-kes salahguna kuasa apabila ketelusan dinafikan.
Legitimasi kerajaan tebuk atap itu pun belum disahkan Parlimen. Muhyiddin juga memperalatkan kes-kes mahkamah berprofil tinggi, seperti babitkan skandal mega 1MDB dan korupsi lainnya, untuk mengikat sokongan pemimpin Umno.
Inikah perdana menteri yang diperagakan sebagai tidak bermain politik? Walhal, dialah paling licik memanipulasikan situasi politik untuk kepentingan dirinya.
Sehingga klip audio terakhir yang didedahkan itu dikatakan mengaitkan baginda Yang di-Pertuan Agong dengan percaturan liciknya bagi merebut kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan