"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hentikan bicara soal kekuatan antara Anwar dan Tun

MALAYSIA DATELINE
Dalam tempoh rundingan yang masih berjalan, tidak wajar jika penyokong Tun Mahathir mahupun penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim saling beradu kekuatan masing-masing di media sosial dengan harapan usaha itu mampu mempengaruhi tokoh mereka dipilih sebagai Perdana Menteri ke-9.

Menurut AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor Syazmir Hariz Noorazalan pertelingkahan antara dua penyokong ini menyebabkan rundingan antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersama pasukan Tun Mahathir dan Warisan akan terjejas akibat sentimen siapa lebih kuat.

“Adakah ini perangkap musuh agar kesepakatan ini tidak terus berjalan? Ataupun musuh hanya bersenang-lenang melihat pertelingkahan terus berlaku dalam PH Plus akibat tangan-tangan penyokong kita sendiri?” soalnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkeyakinan bahawa semua pimpinan PH Plus akan cuba sedaya upaya agar kesepakatan itu akan tercapai demi membebaskan negara ini dari cengkaman Perikatan Nasional.

Pastinya pimpinan PH Plus ini, katanya mempunyai formulanya bagi mencapai kestabilan dalam kerajaan yang akan dibentuk sama ada Anwar mahupun Tun sebagai Perdana Menteri.

“Jalannya sudah ada cuma kaedah yang terbaik bagaimana hendak bergerak sahaja yang sedang dibincangkan.

“Oleh itu, tidak moleklah pula jika penyokong-penyokong setiap tokoh mengganggu proses yang sedang berjalan.
Berpuasalah kita dari beradu kekuatan masing-masing selagi keputusan belum dicapai,” katanya.

Justeru katanya, penglibatan Pasukan Tun Mahathir dan Warisan adalah satu tanda bahawa mereka bersedia menyelamat negara dari pimpinan kerajaan PN.

“Kesediaan pimpinan PH menerima kehadiran Pasukan Tun Mahathir dan Warisan merupakan usaha terkini PH bagi memastikan negara dipulangkan semula kepada kerajaan mandat rakyat,”katanya.

Tiada ulasan: