FMT Reporters
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin akan jatuh sekiranya 6 pimpinan Umno didapati bersalah di mahkamah.
Beliau berkata, Muhyiddin akan menjadi penentu sama ada pimpinan Umno terbabit didapati tidak bersalah oleh mahkamah dalam perbicaraan yang membabitkan mereka.
Mahathir menyenaraikan 6 pimpinan Umno, iaitu Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahmad Maslan dan Bung Moktar Radin.
“Di waktu Muhyiddin rancang untuk terima Umno dan Najib sebagai rakan dalam parti baru, beliau janji tidak akan sentuh perbicaraan kes Najib dan lain-lain kes yang melibatkan beberapa pemimpin Umno. Perbicaraan akan diteruskan.
“Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu 3 sahaja lebih daripada separuh (111 wakil rakyat).
“Jika 6 orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108, iaitu kurang daripada separuh,” katanya dalam blognya di chedet.cc, merujuk kepada kerusi di Dewan Rakyat.
Mahathir berkata, sebelum ini anak tiri Najib, Riza Aziz dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman juga sudah “dilepaskan” oleh mahkamah.
Katanya, sudah tentu 6 orang pemimpin Umno ini juga akan didapati tidak bersalah.
“Maka selamatlah Muhyiddin. Dunia akan ketawa melihat kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang.
“Yang salah tidak salah. Yang benar salah. Yang menang kalah. Yang kalah menang. Syabas, norma baru sudah dicipta,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan