"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakaman suara mirip Muhyiddin kata Agong mahu Dr M kekal PM walau k'jaan bertukar

Sebuah laman Facebook yang menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan satu lagi rakaman audio yang didakwa diambil ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu.

Dalam rakaman kali ini, suara yang menyerupai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didengar berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lebih suka jika Mahathir kekal sebagai perdana menteri, walaupun jika berlakunya pertukaran kerajaan.

Suara itu membangkitkan senario di mana Mahathir tidak letak jawatan tetapi memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan telah memberitahu Mahathir bahawa beliau telah mendapatkan nasihat seorang bekas ketua hakim yang mengatakan peletakan jawatan tidak perlu dibuat.

"Jadi dalam keadaan A yang ada sekarang ini pun Tun (kekal) perdana menteri, kalau nak bergerak ke B pun Tun tak perlu nak letak jawatan (dan) kekal perdana menteri.

"Meletakkan semula (reimposing) kedudukan tetapi bergerak daripada PH kepada PN. Kononnyalah. Tak jadi agaknya...itu keadaannya," kata suara tersebut dalam rakaman itu yang dimuat naik malam tadi.

Suara tersebut turut mendakwa Sultan Abdullah telah beberapa kali dimaklumkan berkenaan rancangan itu.

"Sentimen Agong, dia lebih suka yang ini, yang kita nak cakap ini.

"Dia tak kena dengan Anwar, dia cakap terus terang...," menurut suara itu lagi.

Suara itu turut berkata delegasi seramai enam orang, termasuk dirinya, dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul enam petang hari tersebut.

Dikatakan lima lagi ialah bekas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Presiden Warisan Shafie Apdal, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Abang Johari Tun Openg dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Untuk rekod, selepas Langkah Sheraton yang berlaku pada akhir Februari lalu, Warisan menetapkan pendirian untuk bersama dengan PH.

Kata suara itu lagi, delegasi itu akan menunjukkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Mahathir memiliki sokongan 133 anggota Parlimen - menerusi perakuan bersumpah (SD) - untuk menubuhkan kerajaan baru.

"Dalam SD sebahagian besar kata sokong Tun dan apa sajalah. Jadi kalau Tun kata kita nak tubuh A pun boleh, tubuh B pun boleh. Apa saja.

"Ia terbuka. Kita tak kata sokong Anwar ke sokong mana. Saya fikir itu tak relevan. Anwar tak masuk buku saya," kata suara itu.

Akhirnya delegasi tersebut tidak jadi mengadap Agong pada hari tersebut, dan menangguhkannya pada keesokan hari, kata suara itu lagi.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kandungan rakaman audio tersebut.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Bersatu yang dihubungi malam tadi berkata rakaman tersebut tulen.

Sumber itu berkata, rakaman itu adlaah bahagian awal mesyuarat 23 Februari, yang bermula dengan Mahathir menjelaskan bahawa beliau tidak setuju dengan cadangan Bersatu keluar daripada PH.

Katanya lagi, rakaman itu menunjukkan usaha Muhyiddin untuk meyakinkan MPT agar tidak setuju dengan pendirian Mahathir.

Malaysiakini telah menghubungi Muhyiddin, para anggota MPT Bersatu dan Istana Negara berkenaan rakaman ini, dan sedang menunggu respons mereka.

Menerusi siri pendedahan rakaman audio sebelum ini, laman Facebook pro-Mahathir itu berkata bekas perdana menteri itu pada mesyuarat tersebut telah membuat rayuan kepada MPT agar tidak memberi tekanan kepadanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan pada tahun ini.

Ia juga mendakwa Muhyiddin mencadangkan jawatan menteri dan GLC digunakan untuk menarik anggota Parlimen Umno ke dalam Bersatu.

Di akhir mesyuarat itu, Muhyiddin dikatakan memberita mesyuarat agar meletakkan kepercayaan kepada Mahathir untuk membuat keputusan sama ada meninggalkan PH atau tidak.

Untuk rekod, selepas mesyuarat itu, pemimpin PN dan juga Shafie telah bertemu Mahathir di kediamannya untuk sekali lagi meyakinkan beliau agar meninggalkan PH, tetapi tidak berjaya.

Muhyiddin, Azmin dan sejumlah pemimpin Bersatu, Umno dan PAS kemudian berkumpul di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, mencetuskan apa yang kini dipanggil sebagai "Langkah Sheraton" yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.

Apabila Mahathir dikatakan sedar akan perkara itu pada pagi keesokannya, beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, dan dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Dalam titah diraja di Dewan Rakyat pada 18 Mei, Yang di-Pertuan Agong bertitah baginda telah meminta agar Mahathir tidak meletakkan jawatan, tetapi akhirnya terpaksa menerima keputusannya.

Pada hari sama Mahathir meletakkan jawatan, iaitu pada 24 Februari, Muhyiddin mengisytiharkan Bersatu keluar daripada PH dan kemudian berjaya meyakinkan Mahathir untuk menarik balik peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti.

Perkara itu kini menjadi pertikaian, dengan kem Muhyiddin mendakwa MPT tiada kuasa menolak peletakan jawatan Mahathir. Muhyiddin kini memangku jawatan tersebut dan MPT pula mengesahkan Mahathir, dan lima lagi pemimpin lain, bukan lagi ahli parti itu.

Tiada ulasan: