MALAYSIA DATELINE
Penyanyi Janji Manismu Aishah difahamkan kini berada pada tahap 4 positif Covid-19 setelah dimasukkan ke Hospital Ampang sejak dua malam lepas.
Paras oksigen penyanyi nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin itu agak kurang stabil dan memerlukan beliau untuk terus menerima bantuan oksigen.
Ketua Wanita Amanah Nasional Aiman Athirah berkongsi maklumat itu di Facebooknya selepas menghubungi Aishah yang sedang menerima rawatan di wad.
“Usai berbual pendek dengan Wan Aishah Wan Ariffin, ini mungkin kali kedua bicara dengannya sejak beliau dimasukkan ke hospital sejak 2 malam yang lepas.
“Aishah sekarang difahamkan berada pada kategori 4.
“Sama-sama kita terus berdoa memohon kesembuhan buat Aishah dan seluruh warga kita yang diuji pandemik Covid-19,” kata beliau.
Terdahulu Aishah melalui Instagramnya memaklumkan dirinya dijangkiti virus Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan terhadap dirinya.
Beliau berdepan detik cemas apabila tahap oksigen dalam badan turun mendadak selepas tiub pernafasan dibuka seketika, hari ini.
Selepas beliau ke tandas dan kembali ke katil, oksigennya turun dengan mengejut.
Bekas juara Gegar Vaganza musim keempat yang berusia 56 tahun itu turut berasa bimbang tatkala melihat ada pesakit lain dibawa ke wad khas untuk ditidurkan.
“Ya ALLAH mental tidak kuat hari ini, bila melihat pesakit depan saya dibawa naik untuk di intubate (ditidurkan). Pagi tadi tahap oksigen saya 98, mereka cuba nak buka oksigen.
“Tapi bila ke tandas dan balik ke katil, paras oksigen terus turun mendadak ke 88, terpaksa pakai oksigen semula baru naik semula ke 95. Ya ALLAH teman-teman semua tolong doakan saya tidak sampai ke situ (ditidurkan),”tulis beliau.
“Saya sangat mengharapkan doa kawan-kawan, ampunkan dosa-dosa saya sekiranya pernah terkasar kata dan sebagainya,” luah Aishah.
Aishah dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta kemudia dikejarkan ke Hospital Ampang berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus pada Isnin lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan