MALAYSIA DATELINE
Pendekatan Khemah Besar Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti menimbulkan persoalan apakah PH akan mendapat keuntungan selepas DAP dan AMANAH menyerahkan kerusi kepada parti MUDA.
Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, MUDA bukan sebahagian dalam PH dan dikhabarkan enggan menggunakan logo Pakatan Harapan.
“MUDA akan menggunakan dan mempromosikan logo mereka sendiri, jadi dimana lebihnya kepada Pakatan Harapan selain elak berlakunya tiga atau empat penjuru yang akan menguntungkan Umno?” soal beliau.
Katanya, MUDA dilihat belum bersedia untuk memperlihatkan mereka sebahagian dari pasukan Pakatan Harapan namun hanya menjaja pada idea kesatuan pembangkang, dimana idea itu akan memberi kelebihan kepada MUDA, dan memberi mudarat kepada Pakatan Harapan sekiranya MUDA tidak diraikan kerana kewujudan MUDA adalah hanya mengambil segmen pengundi mereka, jadi mahu tidak mahu rundingan terpaksa dilakukan.
“MUDA juga dilihat ekslusif, bukan dalam erti keahlian mahupun batang tubuh parti terbabit tetapi dalam kerangka hubungan mereka dengan parti parti pembangkang lain.
“Hanya sesekali dilihat pemimpin MUDA sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan, itupun melibatkan kepimpinan tertinggi lalu bagaimana kerjasama antara peringkat akar umbi dapat dibentuk dan boleh bekerjasama untuk saling memenangkan?” soalnya lagi.
Beliau percaya ahli AMANAH khususnya pasti terkilan jika rundingan ini hanya melibatkan agihan kerusi dan “elak Umno menang” tetapi tiada nilai tambah untuk membantu calon Pakatan Harapan untuk menang berhadapan pilihan raya.
“Oleh yang demikian, MUDA memikul satu beban besar untuk membuktikan bahawa keputusan AMANAH dan DAP membuka ruang kepada mereka adalah memberi keuntungan kepada kedua belah pihak,” kata beliau.
Justeru, katanya MUDA dan Syed Saddiq khususnya perlu bekerja lebih kuat dalam mempastikan pengorbanan parti lain memberi ruang kepada MUDA yang sekaligus.
Terdahulu, parti komponen Pakatan Harapan, AMANAH dan DAP telah selesai rundingan dengan Parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 9 Februari lalu dengan persetujuan menyerahkan 6 kerusi milik mereka kepada parti MUDA iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Empat dari enam kerusi yang diserahkan kepada MUDA adalah kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU14 lalu termasuklah kerusi Puteri Wangsa yang mendapat majoriti hampir 25,000 undi.
Tambahnya, penyerahan ini adalah semata mata untuk menjayakan idea penyatuan parti pembangkang, walaupun MUDA bukan sebahagian dari komponen Pakatan Harapan.
Katanya, penyerahan 6 kerusi ini oleh AMANAH dan DAP adalah satu pengorbanan yang cukup besar, apatah lagi calon bagi kerusi kerusi terbabit sudah diperuntukkan oleh kedua parti namun terpaksa diserahkan atas nama kesepakatan “Khemah Besar”.
AMANAH menyumbang 4 dari 6 kerusi terbabit, termasuklah 2 daripada sudah mempunyai calon yang merupakan orang yang sangat penting dalam AMANAH Johor, dan turut terpaksa berdepan asakan dalaman yang mempertikaikan keputusan kepimpinan yang menyerahkan kerusi yang berpotensi besar untuk menang.
“Jadi adakah pengorbanan ini berbaloi oleh Pakatan Harapan sedangkan jika tiga penjuru pun tidak menjamin kekalahan terutama MUDA masih parti yang baru dan tidak terbukti kekuatan mereka?
Pendekatan membina hubungan dengan MUDA adalah bagi mendapatkan sokongan anak muda, terutama setelah digezetkan Umdi18 akhir tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan