"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selepas sedar parti, PH jadi gabungan ketiga

RAFIZI RAMLI

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) telah menjadi parti ketiga selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa KEADILAN dan PH.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri. Setiap kali KEADILAN dan Pakatan Harapan mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat.

Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan Umno/Barisan Nasional. Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan PN mengenai kemungkinan bekerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan PH seolah-olah keseluruhan pimpinan PH sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

KEADILAN dan Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat.

Rakyat memahami kesan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika itu kepada kehidupan seharian dan masa depan mereka. Rakyat juga tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.

Rentetan peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.

Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan.

Sebab itu Umno/Barisan Nasional boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018.

Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan KEADILAN dan Pakatan Harapan sudah tidak ada beza dengan Umno/Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik. Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik.

Kelesuan politik ini juga berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa gagasan-gagasan politik untuk mendapat kuasa selepas PRU14.

Kegilaan membentuk gabungan

Di peringkat Persekutuan, Umno dan Bersatu boleh berkongsi kuasa tetapi memaki hamun sesama sendiri di luar. Pas boleh mendakap Umno demi kuasa (walaupun bermusuh sekian lama), kemudian memaki hamun kembali juga disebabkan kuasa.

KEADILAN boleh dimainkan hidup-hidup oleh helah Umno konon untuk menyokong calon KEADILAN menjadi Perdana Menteri, seolah-olah KEADILAN tidak kenal siapa Umno.

DAP menyatakan pengkhianatan Bersatu meruntuhkan mandat rakyat, tetapi DAP juga yang menjadi broker persefahaman MoU untuk mengekalkan Perdana Menteri dari Bersatu (seterusnya bersambung dengan Perdana Menteri dari Umno).

Terkini, pandangan terbaru ialah supaya PH mencari jalan bekerjasama pula dengan PN.

Di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihan raya. Di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P.Ramlee dahulu.

Saya memang kurang minat dengan politik sejak dari kecil. Saya tidak bercita-cita menerima jawatan awam kerana ia satu tanggungjawab. Jika kita tidak yakin boleh memikul sesuatu amanah, lebih baik kita beri laluan kepada orang lain.

Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa. Suara saya menjadi suara minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN, apatah lagi di kalangan Pakatan Harapan.

Bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selepas sedar parti, PH jadi gabungan ketiga

Ketaasuban kepada strategi gabungan politik makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat.

Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju. Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (accountability).

Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara.

Jika mereka yakin taktik membawa mana-mana Ahli Parlimen yang sanggup menukar kesetiaan (demi mencukupkan angka sokongan) boleh mengembalikan pentadbiran PH dan seterusnya meningkatkan peluang memenangi PRU15, saya tumpang gembira (walaupun saya tidak mahu terlibat).

Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaasuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari rakyat.

Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua hanyalah drama Keluarga 69.

Lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada membentuk gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian menjadi semakin sepi.

Saya terus mendapat desakan dari pendukung KEADILAN dan Pakatan Harapan dari kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik.

Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin saya boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga KEADILAN dan Pakatan Harapan nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat.

Jika KEADILAN dan Pakatan Harapan ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat.

Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika mereka memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik dari menambat hati rakyat.

Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas Umno/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Saya menganggotai KEADILAN sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

Sumbangan saya dalam menubuhkan Pakatan Harapan dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.

Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika KEADILAN dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang.

Tiada ulasan: