"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demokrasi dalam Umno sedang menuju kematian?

ARIF ATAN

Jika diperhalusi, pindaan perlembagaan yang diluluskan melalui Perhimpunan Agung UMNO Khas semalam dengan sendirinya menjadikan pemegang jawatan dalam parti itu dapat “berkubang” di kedudukan masing-masing sekitar lima tahun selepas memenangi jawatan yang ditandingi.

Meskipun ketetapan sebenar mensyaratkan pemilihan adalah setiap tiga tahun sekali, tetapi dengan keistimewaan sedia ada untuk melanjutkannya selama 18 bulan dan ditambah dengan pindaan baru iaitu enam bulan selepas PRU diadakan, bermakna tempoh pemegang jawatan dalam UMNO selepas ini adalah lebih lama berbanding hayat penggal Parlimen itu sendiri iaitu lima tahun.

Jika PRU diadakan genap lima tahun daripada tarikh pembubaran Parlimen sebelumnya dan dengan itu pemilihan UMNO hanya diadakan enam bulan kemudiannya, mereka yang berjawatan dalam UMNO lebih menikmati keistimewaan lagi kerana mampu memegang jawatan masing-masing selama lima setengah tahun lamanya.

Woww…seronoklah mereka yang ada jawatan dalam UMNO sekarang, terutama Presiden dan mereka yang segerombolan dengannya.

Mereka kini masih boleh mencatur kuasa dan menentukan calon dalam pilihan raya bagi memastikan masa depan tetap ceria, walaupun sedang ada kes mahkamah misalnya.

Daripada sudut yang lain, apakah keadaan yang berlaku dalam UMNO ini mampu menjadikan parti itu lebih diminati oleh generasi muda dan terus disokong oleh rakyat jelata?

Dalam keadaan UMNO berkuasa selama ini, memang diakui ada kewajaran untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan bagi memberi laluan PRU diadakan terlebih dahulu.

Ini kerana pada ketika itu, penentuan tarikh PRU adalah dalam lingkungan kuasa Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO menentukannya.

Tetapi, setelah UMNO tumbang dan kini kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan campuran, malah mungkin selepas ini parti itu hilang lagi kuasa tanpa menang pilihanraya yang sedang dipegangnya sekarang, mengekalkan ketetapan lama itu sudah tidak lagi relevan.

Sebagaimana sekarang ini misalnya, disebabkan kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan campuran, UMNO tidak lagi mempunyai kuasa menentukan tarikh PRU secara mutlak di sebalik kerusi Perdana Menteri yang hilang sebelum ini sudah pun dimiliki UMNO.

Lebih tidak relevan sebenarnya dengan UMNO melakukan pindaan baru semalam yang menetapkan pemilihan hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU dilangsungkan.

Bayangkan, sementara mungkin parti lain yang berkuasa menentukan tarikh PRU, tetapi pemegang jawatan dalam UMNO tetap dapat bertahan dengan jawatan masing-masing tanpa tergugat sama sekali.

Dengan itu, apa gunanya ditetapkan tempoh pemilihan setiap tiga tahun kalau akhirnya mereka senang-senang dapat bertahan selama lima atau lima setengah tahun dengan jawatan yang dipegang?

Demokrasi apa begitu?

Apakah ini bermakna demokrasi dalam UMNO sedang menuju kematiannya?

Bukankah, sesuai dengan pengajaran daripada kekalahan pada 2018 lalu, pembesar-pembesar UMNO seharusnya lebih berjiwa besar dengan lebih wajar menetapkan pemilihan diadakan setiap tiga tahun secara mandatori tanpa ada keistimewaan lanjutan masa selama 18 bulan atau enam bulan selepas PRU dilangsungkan?

Atau alang-alang demokrasi semacam sudah mati jadinya di bawah kepimpinan sekarang, baik saja dipinda terus perlembagaan UMNO dengan menetapkan pemilihan hanya diadakan setiap enam tahun sekali?

Tiada ulasan: