"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cuba cabaran 'Malaikat Maut' demi 'content', remaja maut dirempuh lori

Cuba cabaran 'Malaikat Maut' demi 'content', remaja maut dirempuh lori

JAKARTA: Terlalu banyak orang yang sanggup menggadaikan hal keselamatan hanya untuk meraih pengikut dan jumlah tontonan di media sosial.

Itu termasuk melakukan aksi berisiko dan berbahaya, serta kemudian bertaruh nasib untuk terlepas daripadanya lalu dianggap 'berjaya'.

Sebuah cabaran TikTok yang dinamakan 'Malaikat Maut', menjadi kegilaan remaja di Indonesia ketika ini.

Namun Jumaat lalu (3 Jun), percubaan tiga remaja untuk melaksanakan aksi berkenaan tidak berjaya malah berakhir dengan tragedi apabila salah seorangnya maut.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut portal Coconuts Jakarta, tiga remaja lelaki terbabit sengaja meluru ke tengah jalan raya di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak laju.

Dalam kejadian yang berlaku di Tangerang, Banten itu, dua daripada mereka berjaya melompat keluar dari laluan lori itu tepat pada masanya.

Bagaimanapun, lori itu tidak berjaya mengelak seorang lagi remaja, menyebabkannya digilis kenderaan itu lalu meninggal dunia serta-merta.

Pemandu lori itu telah ditahan untuk disoal siasat.

Cabaran TikTok ‘Malaikat Maut’ bukanlah perkara baharu sebaliknya telah wujud sejak 2021.

Mereka yang mencuba cabaran itu perlu sengaja berdiri di laluan kenderaan yang bergerak untuk 'mengusik' kewaspadaan pemandu. Mereka kemudian perlu bergerak pantas untuk mengelak daripada dirempuh kenderaan.

Cabaran itu dianggap 'berjaya' jika kenderaan itu sempat berhenti dengan menekan brek mengejut.

Respons netizen Indonesia berkenaan perkara itu bercampur-baur antara kesal, simpati dan marah. Ada sesetengah yang melabelkan insiden itu suatu 'kebodohan' yang sengaja dilakukan tanpa berfikir panjang tentang kemungkinan buruk.

Sebelum ini, cabaran 'Malaikat Maut' itu sudah meragut nyawa beberapa pelaku remaja yang lain.

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut dan seorang lagi cedera melakukan aksi sama di Bekasi pada 13 Julai 2021; diikuti remaja 15 tahun yang maut di Cianjur pada 10 September 2021; dan remaja 14 tahun yang maut dilanggar lori di Sukabumi, pada 1 April 2022.

-astroawani

Tiada ulasan: