"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dana awam dan polis digunakan untuk kepentingan politik kerajaan?

Malaysiakini 

Kerajaan digesa jelaskan dakwaan kaitan polis dengan 'troll farm'

Seorang pemimpin DAP hari ini menuntut penjelasan kerajaan berhubung laporan Meta yang baru diterbitkan, yang mengaitkan polis dalam percubaan memanipulasi perbincangan awam dengan mewujudkan troll farm.

Ia selepas Meta, yang merupakan pemilik Facebook dan Instagram, dalam laporan Quarterly Adversarial Threat Report hari ini mendedahkan pihaknya telah memadam ratusan akaun, halaman dan kumpulan di Facebook dan Instagram yang menjadi sebahagian daripada troll farm yang menyasarkan pengguna media sosial di Malaysia.

Troll farm ditakrifkan sebagai organisasi yang mengendalikan akaun palsu untuk membuat hantaran menyinggung dan bernada provokasi untuk mencetuskan konflik atau memanipulasikan pandangan awam.

Meta berkata siasatannya mendapati kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan mempersoalkan jika kerajaan menggunakan dana awam bagi kegiatan itu.

"Sekiranya benar, ia mendedahkan suatu usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun dan laman palsu bagi manfaat politik kerajaan.

"...Laporan ini menunjukkan kerajaan membiayai troll dan tentera siber menggunakan dana dan sumber awam demi kepentingan politik mereka," katanya.

Syahredzan berkata berkemungkinan ada lebih banyak akaun dan halaman palsu dengan agenda sama, tetapi belum dikenal pasti.

"Tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa selain daripada akaun dan laman ini, terdapat akaun dan laman lain, merengasi pelbagai platform media sosial, yang juga menjalankan kegiatan sama.

"Sumber awam, termasuklah badan yang sepatutnya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan politik seperti ini.

"Kerajaan dituntut untuk memberi penjelasan telus dan terperinci mengenai apa yang terkandung dalam laporan Meta. Jika tidak, ia akan memberikan persepsi negatif bahawa badan dan sumber awam telah digunakan untuk tujuan politik kerajaan hari ini," kata peguam itu lagi.

'Propaganda prokerajaan, antipembangkang'

Menurut Meta, laporannya memberikan pemahaman terhadap ancaman global yang telah ditangani gergasi media sosial, termasuk di Malaysia, Russia, Israel, Pakistan, India, Afrika Selatan, Greece dan Filipina.

"Kami juga membuang tiga jaringan yang terlibat dalam operasi coordinated inauthentic behaviour (CIB), termasuk satu jaringan yang dikaitkan dengan satu firma perhubungan awam di Israel, dan dua troll farm berbeza - satu di Malaysia yang menyasarkan audiens tempatan dan satu di Rusia yang menyasarkan perbincangan awam berkenaan perang di Ukraine.

"Di Malaysia, kita telah membuang 596 akaun, 180 laman dan 11 kumpulan di Facebook dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar kami berkaitan CIB. Jaringan ini berasal di Malaysia dan menyasarkan audiens di negara itu.

"Individu-individu di belakangnya menguruskan satu troll farm - usaha bersepadu untuk menjejaskan atau memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai berkenaan siapa di belakangnya.

"Mereka aktif merentasi internet, termasuk di Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram, dan membuat hantaran meme dalam bahasa Melayu yang menyokong gabungan kerajaan sekarang...," menurut laporan itu.

"Di Facebook, jaringan ini mengendalikan laman-laman, termasuk yang menyamar sebagai entiti berita bebas, menonjolkan (promote) polis dan mengkritik pembangkang.

"Kami dapati jaringan ini selepas menyemak maklumat berkenaan sebahagian kecil aktiviti ini, yang pada mulanya disyaki berasal di China oleh penyelidik di Clemson University. Walapun pihak di belakangnya berusaha menutup identiti dan koordinasi mereka, siasatan kami mendapati ada kaitan dengan PDRM," menurut laporan itu lagi.

Laporan itu menyatakan kira-kira 427,000 akaun mengikuti sekurang-kurangnya satu laman tersebut, sementara kira-kira 4,000 akaun mengikuti sekurang-kurangnya satu kumpulan, dan 15,000 akaun mengikut akaun di Instagram.

"Kira-kira AS$6,000 (sekitar RM26,741) dibelanjakan untuk iklan di Facebook dan Instagram," kata laporan itu lagi.

Malaysiakini telah menghubungi polis bagi mendapatkan respons berhubung laporan ini.

Tiada ulasan: