FMT Reporters
PETALING JAYA: Dakwaan Annuar Musa bahawa Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi perdana menteri menyalurkan jutaan ringgit bagi membantu Umno dalam pilihan raya negeri Sabah 2020 mencetuskan persoalan dalam kalangan warganet mengenai sumber dana tersebut.
Dalam satu video di Tiktok, ketua Umno Ketereh itu juga berkata, tuduhan bahawa pengerusi Perikatan Nasional (PN) mahu “bunuh” Umno juga adalah “bohong dan palsu”.
Seorang pengguna Facebook, Faisal Ismail mempersoalkan sumber dana yang digunakan Muhyiddin untuk diberikan kepada Umno.
“Lawak apa ini, mana Abah dapat duit itu? SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sila siasat,” kata seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Jepin.
Muhyiddin serik merujuk diri beliau sebagai Abah.
Seorang lagi pengguna, Syafiqa Husna juga berpandangan sama.
“Wow. Abah ada banyak duit. Itu betul stabil,” katanya yang merujuk tema PN yang menjanjikan kerajaan Prihatin, Bersih dan Stabil sekiranya dipilih menjadi kerajaan.
Bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial pula mempersoalkan Annuar dan mengapa bekas menteri komunikasi dan multimedia itu membuat pendedahan tersebut.
Annuar antara pemimpin Umno yang digugurkan dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pengguna Facebook, Syauqi Hashifudin mempersoalkan mengapa Annuar membuat pendedahan itu selepas BN kalah teruk dalam PRU15.
“Adakah skrip Annuar sama sekiranya mereka menang besar?,” soalnya.
“Apabila keadaan seperti ini, anda mahu membuat pendedahan (pemberian dana oleh Muhyiddin)? Kenapa tidak membuat laporan kepada SPRM?,” kata Faridah Ghazali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan