"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 lelaki Myanmar ditahan larikan kanak-kanak 10 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki warga Myanmar yang disyaki melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari rumahnya di Kampung Pengkalan Cina, di Kelantan kelmarin.

Ketua Polis Bachok Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek berusia 17 dan 28 tahun itu berjaya ditangkap pada jam 9 malam di stesen bas Selising, Pasir Puteh semalam, lapor Utusan Malaysia.

Ismail berkata, kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak tersebut yang juga warga Myanmar meninggalkan mangsa bersama adiknya yang berusia lapan tahun di rumah kira-kira 7.30 malam kelmarin untuk pergi ke klinik.

Katanya, sebaik sahaja pulang ke rumah pada 9 malam, lelaki berkenaan terkejut mendapati mangsa sudah tiada di rumah dan hanya tinggal adiknya seorang diri.

“Adik mangsa memaklumkan bahawa dua lelaki Myanmar telah datang mengambil kakaknya. Bapa mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Bachok kira-kira 8.58 pagi semalam.

“Polis kemudian telah membuat serbuan ke rumah suspek selain menjalankan Op Tutup di sempadan melibatkan kawasan daerah Bachok dan Pasir Puteh,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Ismail memberitahu, ketika disoal-siasat mangsa mengaku remaja berusia 17 tahun yang bekerja sebagai buruh itu adalah kekasihnya dan dia mengikut suspek atas kerelaan hatinya.

Katanya, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Suspek yang berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai direman lima hari bermula hari ini manakala seorang lagi suspek ditahan selama empat hari di lokap Balai Polis Bachok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: