KOSMO
Alexandra Gabbasova (mangsa) bersama anaknya semasa kecil. - east2west
MOSCOW – Seorang remaja lelaki di Russia tergamak membunuh ibu sendiri selepas mangsa merampas tabletnya kerana dia tidak menyiapkan kerja sekolah dan leka bermain permainan video, lapor saluran berita Mailonline semalam.
Polis berkata, suspek berusia 15 tahun itu menetak kepala ibunya berulang kali dengan kapak ketika mangsa berbaring di atas katil di rumah mereka dekat Moscow.
“Dia kemudian mengerat badan mangsa sebelum pergi ke kedai serbaneka berhampiran di Krasnaya Storozhka untuk membeli coklat.
“Suspek juga sempat bermain permainan video Minecraft sebelum menyerah diri kepada polis di Sergiev Posad, kira-kira 74 kilometer ke timur laut Moscow,” kata polis.
Kejadian berlaku apabila mangsa bimbang anaknya leka bermain permainan video selama 12 jam sehari, sehingga mengabaikan kerja sekolah.
“Wanita itu mendapati anaknya mengabaikan kerja sekolah sepanjang cuti sakit (dari sekolah) menyebabkan dia merampas telefon dan tablet milik suspek.
“Suspek tidak puas hati dan menetak kepala ibunya dengan kapak.
“Selepas kejadian, dia pergi ke balai polis berhampiran dan membuat pengakuan,” lapor akhbar Mash.
Polis berkata, mangsa dibunuh empat jam sebelum anggota-anggotanya tiba di tempat kejadian.
“Selepas membeli coklat dan bermain permainan video, dia mencari balai polis terdekat secara online dan mengaku membunuh ibunya,” tambah polis. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan