"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 pengawal keselamatan ditahan disyaki sembunyi RM200,000, buat laporan konon dirompak

Adie Sufian Zulkefli

ALOR SETAR: Tiga pengawal keselamatan ditahan selepas membuat laporan palsu kononnya mereka dirompak ketika membawa wang tunai RM200,000 menggunakan van keselamatan, pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, polis kemudian menemui semula semua wang yang dilaporkan hilang itu pada hari yang sama.

"Ketiga-tiga suspek datang bersama majikan mereka ke Balai Polis Kota Setar pada jam 12 tengah hari Selasa mengatakan guni berisi duit lesap.

“Bagaimanapun keterangan daripada ketiga-tiga suspek mencurigakan dan polis melakukan tangkapan ke atas ketiga-tiga pengawal keselamatan berusia 28 hingga 38 tahun itu.

“Polis mengesyaki keterangan yang diberikan ketiga-tiga suspek itu hanya rekaan semata-mata.

"Siasatan polis berjaya mendapatkan semula wang tunai sebanyak RM200,000 yang kononnya dirompak itu dalam tempoh dua jam di beberapa lokasi berasingan.

"Berikutan itu, pihak syarikat keselamatan terbabit kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, pada Khamis.

Syed Basri berkata, siasatan polis mendapati wang terbabit sepatutnya dihantar ke sebuah bank di daerah ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya merampas beberapa barangan milik suspek antaranya sebuah motosikal, pakaian seragam pengawal keselamatan, guni, wang tunai RM200,000, kunci motosikal serta telefon bimbit.

Katanya semua suspek direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah dan jenayah.

Tiada ulasan: