Ini bukan cara disiplin pelajar, majistret tegur guru baling kerusi, tarik rambut
FMT Reporters
PETALING JAYA: Guru didenda RM4,900 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Muar atas empat pertuduhan mendatangkan kecederaan empat pelajar termasuk membaling kerusi, menarik rambut, dan menyumbat gumpalan kertas dalam mulut.
Tertuduh, Mohd Shapril Ahmad, 39, ditegur Majistret Suzana Mokhtar dalam soal mendisiplinkan pelajarnya.
“Ini bukan cara untuk mendisplinkan pelajar, kamu patut menjadi contoh kepada mereka tapi bukan dengan cara sebegini,” katanya menurut Harian Metro.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 13 bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa kepada empat anak itu didakwa sengaja mencederakan tiga pelajarnya berusia 14 tahun dengan menampar muka dan membaling kerusi ke arah mangsa.
Ketiga-tiga kejadian berlaku dalam kelas di sebuah sekolah menengah dalam Muar, pada 8.30 pagi, 13 Nov 2024.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas pelajar berusia 14 tahun dengan memukul belakang kepala, menarik rambut, dan memasukkan gumpalan kertas dalam mulut.
Perbuatan tertuduh berlaku di kelas berasingan pada 8.30 pagi, 6 Nov tahun lalu dengan dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludeen manakala tertuduh diwakili Nurain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan