Dituduh curi lebih RM40,000, lelaki dibunuh, ditanam dalam kolah
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki Rohingya dipercayai dipukul hingga maut sebelum mayatnya diletak dalam kolah dan ditimbus dengan tanah, gara-gara dituduh mencuri barang kemas dan wang tunai lebih RM40,000.
Mangsa berusia lewat 20an itu dipercayai bekerja sebagai tukang rumah dan menetap bersama majikannya di kawasan Kuala Muda, sejak empat bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata polis menerima panggilan seorang wanita pada 28 Jan lalu memaklumkan suaminya ditemui maut di sebuah rumah di kawasan perumahan di Jalan Kampung Sungai Baru itu.
Katanya, kejadian berpunca selepas majikan mangsa menuduh lelaki itu mencuri wang tunai RM40,150, rantai emas dan subang hidung di rumah berkenaan pada 4 Januari lalu.
“Majikan itu (suspek) ada membuat laporan polis berhubung kes kehilangan terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Suspek didakwa menahan si mati dan isterinya serta bapa mangsa yang mempunyai kad pelarian bawah Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) sejak sebulan lalu, serta memukul si mati untuk mendapatkan semula wang tunai yang hilang itu.
“Si mati dipercayai turut dipukul beberapa individu dipercayai etnik Rohingya. Mangsa yang mempunyai tiga anak, dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam pada tarikh dan waktu dia ditemui,” katanya, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui bertutup kain cadar, dimasukkan ke dalam kolah bilik air dan ditimbus dengan tanah di sebuah rumah terletak berhampiran.
Katanya, pasukan forensik dari IPK Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.
“Mayatnya kemudian dikeluarkan dari kolah air itu. Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai telah mati lebih 24 jam, selain ada kesan ikat pada kaki dan tangan, kesan lebam serta luka dipercayai akibat pukulan benda tumpul di kedua-dua paha, kaki dan belakang badan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga suspek pertama telah ditahan berikutan terdapat dua rakaman video menunjukkan dia sedang memegang tali dan memukul si mati,” katanya.
Menurutnya, rumah tempat mangsa dipercayai dipukul juga digeledah sebelum polis menemui senjata dan tali yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek pertama didapati mempunyai rekod bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. Polis turut menahan enam lagi suspek etnik Rohingya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Katanya, semua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan