"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini penjelasan menteri KDN di Parlimen berkait insiden tembakan warga asing di Tanjung Rhu

Insiden tembakan warga asing di Tanjung Rhu, Saifuddin beri penjelasan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bot dinaiki sekumpulan warga asing di perairan Pulau Carey pada 24 Januari lalu sudah diberikan amaran menggunakan pembesar suara dan tembakan ke udara.

Namun, berlaku cubaan kumpulan berkenaan melanggar bot Penggalang 3 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum mereka melarikan diri.

Menjelaskan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, susulan itu penguat kuasa APMM mengejar bot berkenaan dengan jarak tiga batu nautika (kira-kira 4.8 kilometer).

"Kita beri amaran melalui pembesar suara dan melepaskan tembakan ke udara kemudian berlaku bot APMM cuba dilanggar dalam jarak dekat. Kita dapati memang ada senjata parang di dalam bot yang mereka kejar.

"Jadi kita kena ambil keseluruhan konteks, kalau kita berada pada kedudukan anggota penguat kuasa kita yang sedang mengawal kedaulatan wilayah, kita berdepan dengan sasaran, selepas disuruh berhenti tetapi tidak berhenti.

"Apa yang kita boleh lakukan? Sudah diberikan amaran, maka itu tindakan diambil (tembakan)," katanya pada sidang media di Parlimen yang disiarkan secara langsung di saluran Youtube, hari ini.

Saifuddin berkata, insiden itu menyebabkan seorang warga Indonesia meninggal dunia manakala empat lagi cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

"Pihak Kedutaan Indonesia ada menghubungi kita kerana ianya membabitkan sekumpulan warga Indonesia, kita benarkan mereka mengadakan pertemuan di hospital.

"Setakat ini semua mereka dilaporkan stabil dan menerima rawatan di hospital berkenaan," katanya.

Mengulas berhubung siasatan, Saifuddin berkata, polis setakat ini menahan seorang individu dipercayai sebagai transporter.

"Siasatan awal lelaki ini peranannya sebagai transporter, maknanya individu ini berperanan bawa masuk dan keluar individu tanpa sebarang dokumen.

"Siasatan juga mendapati individu ini ada terkait dengan bot yang menjadi sasaran kejar oleh APMM namun ini siasatan masih awal sedang dijalankan oleh polis.

"Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Menurutnya, siasatan dalaman turut dilakukan APMM bagi memastikan tindakan diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagi polis, anggota APMM turut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 namun ini hanya siasatan.

"Kita telus dan beri peluang kepada polis menjalankan siasatan, kita akan buat secara profesional," katanya.

Tiada ulasan: