"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malaysia harus bersama-sama dengan Kanada, Mexico dan China untuk menentang tarif melampau oleh Trump - Guan Eng

Guan Eng gesa enam langkah atasi tarif melampau Trump

Malaysiakini 

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata dasar tarif baru yang diumumkan presiden AS, Donald Trump merupakan ancaman terbesar untuk membendung inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia.

Justeru katanya, langkah mengurangkan kos perniagaan adalah perlu sebagai pelindungan terhadap inflasi dan mengekalkan perkembangan ekonomi yang berdaya mampan.

Lim yang juga pengerusi DAP menggesa kerajaan melakukan pelarasan kewangan dan cukai bagi mengurangkan kos perniagan, terutamanya terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti berikut:

1. Menaikkan nilai ambang pendapatan bercukai untuk kadar cukai 15 peratus daripada kadar semasa RM150,000 kepada RM300,000 dan meningkatkan nilai ambang pendapatan bercukai seterusnya untuk kadar cukai 17 peratus daripada RM600,000 kepada RM700,000, sekali gus membolehkan PKS menikmati penjimatan cukai tahunan sebanyak RM10,000;

2. Meningkatkan nilai ambang e-invois yang akan dilaksanakan pada Julai 2025 daripada hasil tahunan RM 150,000 kepada RM 500,000, sekali gus tidak melibatkan perniagaan kecil;

3. Mewajibkan hanya pekerja asing untuk membayar caruman KWSP dan mengecualikan majikan daripada berbuat demikian;

4. Cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM 100,000 hendaklah dihadkan kepada syarikat tersenarai awam dan bukan syarikat swasta;

5. Menangguhkan pelaksanaan cukai mewah untuk menggalakkan pelancongan; dan

6. Menangguhkan penyasaran subsidi bahan api RON95 dan tidak mengapungkan RON95 kepada harga pasaran, yang dijangka bakal menyebabkan inflasi dan peningkatan kos pengangkutan.

Malaysia terima kesan tak langsung

Lim berkata Malaysia harus bersama-sama dengan Kanada, Mexico dan China untuk menentang tarif melampau oleh Trump.

Menurutnya, perang perdagangan global dengan tarif ala balas dendam bakal membawa kesan buruk yang sama terhadap peningkatan inflasi dan terbantutnya pertumbuhan ekonomi seperti sewaktu pandemik Covid-19.

Jelasnya, walaupun tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico serta tambahan 10 peratus ke atas tarif sedia ada yang telah dikenakan ke atas China tidak melibatkan Malaysia secara langsung, negara ini masih akan terjejas secara tidak langsung.

"China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, lantas sebarang kesan negatif terhadap ekonomi China tentu sekali akan memberi kesan buruk kepada Malaysia," katanya.

Lim menambah, China membekalkan bahan dan komponen yang diperlukan dengan cara yang paling cekap dan kos efektif untuk hab elektronik di Malaysia.

Justeru, katanya, sebarang peningkatan kos pastinya akan mengganggu rantaian bekalan dan bakal menyebabkan pengurangan pengeluaran.

"Selain itu, untuk hab elektronik penting seperti Malaysia, rantaian bekalan menjangkau sehingga Mexico dan Canada kerana jarak yang berdekatan dengan Amerika Syarikat, dan merupakan destinasi akhir kebanyakan eksport negara," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, BBC melaporkan saham Asia merudum pagi Isnin apabila pelabur bersedia dengan kemungkinan perang dagang yang boleh memberi kesan kepada keuntungan syarikat-syarikat besar dan melambatkan pertumbuhan global.

Indeks Hang Seng Hong Kong menurun 1.3 peratus, Nikkei 225 Jepun jatuh 2.4 peratus, Kospi Korea Selatan merosot 3 peratus dan ASX 200 Australia turun 1.8 peratus.

Pasaran di China masih ditutup berikutan cuti Tahun Baru Cina.

"Prospek pertembungan perdagangan yang panjang dan berlarutan antara dua ekonomi terbesar dunia menyebabkan pelabur menarik risiko daripada pasaran hari ini," kata Tim Waterer, penganalisis pasaran utama di firma perkhidmatan kewangan KCM Trade, kepada BBC.

"Kebimbangan lain bagi pelabur adalah negara mana yang mungkin berada dalam senarai tarif Trump seterusnya," tambahnya.

Reuters memetik Paul Ashworth dari Capital Economics yang menyatakan tindakan Trump adalah serangan pertama dalam apa yang boleh membawa kepada perang dagang global yang merosakkan dan memacu lonjakan inflasi AS yang akan "datang lebih cepat dan lebih besar daripada yang kita jangkakan pada mulanya".

Tiada ulasan: