Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Projek EV PERODUA menggunakan teknologi yang dibangunkan sendiri - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
KUALA LUMPUR: PERODUA dijangka memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) berharga sekitar RM80,000, namun dengan konsep berbeza, bateri disewa berasingan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PEROFUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata cara terbaik untuk menawarkan kenderaan berkenaan pada harga kira-kira RM80,000 itu adalah menjualnya tanpa bateri.
"Bateri akan disewa secara pajakan atau 'leasing' kepada pembeli," katanya pada sesi 'Up Close & Casual with Perodua' bersama media, semalam
Menurutnya, melalui cara berkenaan, pembeli akan membeli EV itu tetapi membayar 'sewa' untuk bateri kerana ia milik PERODUA.
"Jumlah sewa itu ialah yang paling minimum dan berdasarkan kajian dijalankan PERODUA, ramai yang menyokong cara ini," katanya.
Menurutnya, secara ringkas, skim pajakan bateri EV oleh PERODUA ini menurunkan harga kenderaan dan menjamin pemilik agar sentiasa mendapat bateri dalam keadaan terbaik.
"Untuk projek EV ini, PERODUA menggunakan teknologi yang dibangunkan sendiri dengan bantuan dari vendor-vendor tempatan dan luar negara," katanya.
Berdasarkan konsep yang akan diperkenalkan ini, pemilik EV akan sentiasa mendapat bateri dalam keadaan baik, kerana ia milik pengeluar dan boleh ditukar ganti sekiranya terdapat sebarang masalah.
Malah, sekiranya terdapat perubahan teknologi bateri, pengeluar kenderaan boleh memberikan bateri dengan teknologi terkini kepada pemilik.
Selain itu, pemilik EV tidak bertanggungjawab atas keadaan bateri dan usaha kitar semula bateri itu terletak di bawah pengeluar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan