Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

SALLEH dihukum penjara enam tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Pemandu bot pelancong dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki bawah umur, April tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, membuat keputusan itu selepas tertuduh Salleh Abd Halil, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun enam bulan (ketika kejadian).
Perbuatan itu dilakukan di Balai Raya bersebelahan Masjid Nurul Hidayah Kampung Bangau-Bangau Semporna, jam 8 malam pada 21 April 2024.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri dalam hujahnya memohon agar hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira bahawa perbuatan dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius.
Katanya, kanak-kanak seharusnya dilindungi dan bukannya diambil kesempatan oleh seorang dewasa dengan melakukan suatu tindakan seksual terhadap mangsa.
"Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa kepentingan awam juga menuntut pesalah seperti tertuduh ini diasingkan dari masyarakat untuk tempoh yang panjang supaya masyarakat berasa selamat dan aman.
"Hukuman berbentuk pencegahan harus diberikan kepada tertuduh supaya dapat mencegahnya daripada mengulangi kesalahan sama selain sebagai peringatan kepada mana-mana orang lain yang berkemungkinan berniat melakukan jenayah seksual bahawa inilah hukuman yang akan diterima sekiranya melakukan kesalahan yang sama," katanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan hanya bekerja sebagai pemandu bot pelancong, sudah bercerai dan mempunyai tanggungan dua orang anak yang kini dijaga keluarga mentua.
Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan selain menjalani perintah pengawasan polis dalam tempoh tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman yang berkuat kuasa bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan