Peniaga ditahan serang aktivis ketika ‘live’ TikTok
Nor Azizah Mokhtar

Foto tangkap layar
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengganggu dan menyerang aktivis yang sedang bersiaran langsung di TikTok berkait isu peniaga warga asing di Pusat Bandar Utara, Selayang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata kejadian kira-kira jam 10 pagi ketika pengadu bersama beberapa anggota badan bukan kerajaan (NGO) SurPlus menjalankan tinjauan awam secara aman di lokasi.
Beliau berkata, siaran langsung berkenaan diadakan bagi menyuarakan isu kepentingan rakyat dan mendekati masyarakat setempat dalam bentuk penyampaian maklumat melalui siaran langsung di platform TikTok.
“Seorang lelaki menaiki motosikal datang mengganggu dengan membuat bunyi bising menggunakan ekzos secara sengaja serta mengeluarkan kata-kata kesat, ejekan dan fitnah terhadap aktiviti pengadu.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menghampiri rakan pengadu, menyoal sebelum menolak badan rakan pengadu dan cuba menumbuknya di hadapan orang ramai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, tindakan suspek itu sekali gus mencetuskan suasana cemas dan ketakutan kepada aktivis serta orang awam.
“Serangan itu berlaku tanpa sebarang provokasi daripada pihak pengadu atau orang awam yang berada di lokasi.
“Satu aduan berkait kejadian itu kita terima pada jam 6.44 petang semalam. Berikutan itu, kita polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, suspek yang juga seorang peniaga ditahan pada jam 11.50 pagi tadi di Kompleks Pasar Borong, Pusat Bandar Utara dan permohonan reman ke atasnya akan dilakukan esok.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkait kes jenayah serta tiga rekod berkait kes dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan cedera), Seksyen 506 akta sama (ugutan jenayah) dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang),” katanya.
Terdahulu, dua video dimuat naik melalui Facebook rasmi SurPlus menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak agresif ketika aktivis memberi penerangan mengenai undang undang negara serta peraturan yang melarang warga asing berniaga di kawasan berkenaan.
Menurut SurPlus, siaran langsung itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peraturan perniagaan serta tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam mengawal aktiviti perniagaan oleh warga asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan