Agensi
Mumbai: Seorang murid perempuan maut selepas gurunya didakwa memaksanya melakukan 100 kali bangkit tubi kerana lewat tiba di kelas, lapor Mirror.
Murid berusia 12 tahun dari Maharashtra, India itu dilaporkan terpaksa menggalas beg sekolahnya ketika menjalani hukuman berkenaan yang kemudian menyebabkan kesakitan teruk.
Kejadian pada 8 November itu turut membabitkan kanak-kanak lain yang lewat mencetuskan kemarahan ibu bapa dan masyarakat setempat.
Kajal Gond, murid Tahun Enam di sebuah sekolah di Vasai mula mengalami sakit belakang yang teruk selepas menyelesaikan hukuman fizikal itu sambil memikul beg sekolah.
Keadaannya bertambah buruk di rumah menyebabkan dia dimasukkan ke hospital di Nalasopara sebelum dipindahkan ke Hospital JJ Mumbai namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sana.
Ahli keluarga mendakwa hukuman itu menjadi punca kesihatannya merosot secara mendadak.
"Dia menangis kesakitan dan terus memberitahu dia tidak boleh menggerakkan belakangnya. Tiada kanak-kanak sepatutnya dilayan begini kerana lewat," kata bapanya, Sunil Gond.
Penduduk tempatan dan ibu bapa menuntut tindakan tegas diambil terhadap guru dan pentadbiran sekolah.
Aktivis masyarakat, Meena Patil menyatakan bahawa tindakan itu bukan disiplin tetapi kekejaman kerana anak-anak dihantar ke sekolah untuk belajar, bukan untuk menderita.
Parti politik serantau, Maharashtra Navnirman Sena (MNS) memberi amaran bahawa sekolah itu akan kekal ditutup sehingga pertuduhan jenayah difailkan.
"Keadilan mesti ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan," kata jurucakap MNS, Rajesh Kadam.
Sementara itu, penyokong pendidikan menggesa penguatkuasaan undang-undang perlindungan kanak-kanak yang lebih ketat dan latihan yang lebih baik untuk guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan