Mastura Ismail

Senapang patah dan peluru yang dirampas dari rumah suspek di Merapok, semalam.
LAWAS: Pihak polis merampas sebilah pedang, selaras senapang patah berserta 10 butir peluru serta lapan kelongsong peluru daripada seorang lelaki yang disyaki terlibat membakar dua kereta milik abang iparnya di sebuah rumah di Merapok semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan di rumah suspek, 37, pada jam 9.30 pagi yang bertindak melarikan diri sebaik bertindak membakar kereta milik abang iparnya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati ditegur ahli keluarganya.
“Susulan kejadian itu, sepasukan polis telah pergi ke tempat kejadian bersama pihak bomba Lawas dan mendapati kedua-dua kereta telah musnah sepenuhnya dan suspek telah melarikan diri.
“Bagaimanapun suspek yang juga adik ipar mangsa berjaya ditangkap di rumahnya.
“Pemeriksaan ke atas suspek dan dalam rumah berkenaan, kita telah menjumpai sebilah pedang, satu laras senapang patah dan 10 butir peluru serta lapan kelongsong peluru senapang patah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kereta yang dipercayai dibakar suspek semalam merupakan milik abang iparnya.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam operasi berasingan katanya, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan di tepi Jalan Punang di sini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam operasi pada jam 3.10 petang.
”Hasil pemeriksan kita merampas satu bekas plastik mengandungi dua keratan tiub berisi kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 2.20 gram.
“Semakan terhadap suspek mendapati tiada kesalahan lampau," jelasnya lanjut.
Katanya, seorang lagi lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan kerana positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dalam operasi yang dijalankan di hadapan sebuah rumah di Jalan Punang pada jam 3.30 petang.
Kata beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
-Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan