"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penunjuk perasaan Thai desak Anwar henti campur tangan isu sempadan

Malaysiakini 

Penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok hari ini bagi menuntut Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menghentikan “campur tangan” dalam urusan Thailand berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Menurut laporan Bangkok Post, penunjuk perasaan juga merancang untuk ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana yakin Washington secara tidak adil mengaitkan rundingan perdagangan dengan hak kedaulatan Thailand untuk melindungi wilayahnya.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh gabungan nasionalis bernama United Power of the Land to Protect Sovereignty, atau dalam bahasa Thai, “Ruam Palang Phaen Din Pok Pong Athipatai”.

Antara tokoh yang turut serta adalah aktivis Pichit Chaimongkol, bekas senator Kaewsan Atibodhi, bekas pemimpin baju merah Jatuporn Prompan, dan peguam Nitithorn Lamlua.

Dengan mengibarkan bendera Thailand dan mengangkat sepanduk, mereka tiba di Kedutaan Malaysia di Jalan Sathon dengan sebuah trak yang dilengkapi pembesar suara.

Mereka mendakwa Anwar, ata kapasitinya sebelum ini sebagai pengerusi Asean, mencampuri usaha Thailand untuk mempertahankan kedaulatannya.

Mereka turut menuntut agar Anwar tidak menekan Thailand supaya berunding dengan Kemboja berhubung kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.

Perjanjian damai terancam?

Pada 26 Oktober lalu, Thailand dan Kemboja menandatangani deklarasi bersama mengenai perjanjian damai yang digelar “Perjanjian Damai KL”, menandakan langkah rasmi ke arah menghentikan ketegangan dan memulihkan keamanan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet, di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.

Majlis itu disaksikan oleh Anwar dan Presiden AS Donald Trump.

Bagaimanapun, perjanjian itu mula goyah selepas Anutin memutuskan untuk menangguhkannya, susulan letupan periuk api di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja yang dilaporkan mencederakan beberapa tentera Thailand.

Susulan itu, Anwar berkata Panglima Angkatan Tentera Nizam Jaffar telah diberi tugas untuk menyambung semula rundingan mengenai perkara tersebut.

Campur tangan politik

Sementara itu, Pichit menuduh Anwar melangkaui peranannya sebagai pengerusi Asean dengan mengarahkan Thailand agar menghentikan operasi di sempadan.

Dia juga menuduh Anwar melakukan “campur tangan politik”, dengan mendakwa Malaysia dan AS cuba mempengaruhi keputusan Thailand secara tidak wajar.

Kaewsan pula menuduh Malaysia mempunyai pelaburan besar dalam operasi kasino di Kemboja dan mendakwa Anwar menggunakan dialog damai sebagai alat politik meskipun berdepan isu rasuah di dalam negara.

Dia juga menggesa Asean agar memastikan Anwar “tiada tempat dalam blok serantau”.

Tiada ulasan: