"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki curi 64 pakaian dalam, seorang lelaki ditahan

Omar Ahmad

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas yang disyaki terbabit dalam beberapa kejadian kecurian pakaian dalam di sekitar Mutiara Rini dan Gelang Patah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki berhubung kecurian pakaian dalam, pada Khamis lalu.

“Pengadu berusia 50 tahun memaklumkan pakaian dalam milik dirinya dan isteri yang dijemur di luar rumah dicuri pada jam 3.10 petang.

“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota telah membuat tangkapan ke atas suspek pada jam 6.30 petang, semalam di kawasan Gelang Patah.

“Hasil siasatan mendapati suspek mencuri pakaian dalam yang dijemur di hadapan rumah dari arah luar pagar.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 31 tahun tidak mempunyai rekod lampau dan saringan awal air kencingnya didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumarasan, penahanan suspek membawa kepada penemuan pelbagai barangan dipercayai dicuri.

Antaranya 52 baju dalam wanita, 12 seluar dalam wanita, dua pasang seluar dalam lelaki serta satu penyangkut pakaian berwarna hijau.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan empat kes kecurian pakaian dalam yang berlaku sejak Mei lalu.

“Suspek kini direman empat hari bermula Isnin mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: