B Nantha Kumar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengirimkan sejambak bunga tanda penghargaan kepada MIC sempena perhimpunan agung tahunan (AGM) ke-79 parti itu hari ini.
Penghantaran bunga beserta mesej khas itu dibuat melalui pegawai khas masyarakat India, Shanmugam Mookan — langkah simbolik yang dilihat sebagai sokongan Anwar terhadap usaha MIC membela kebajikan rakyat.
“Saya mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh kepimpinan dan perwakilan MIC di bawah pimpinan SA Vigneswaran.
“Persidangan ini adalah medan penting untuk memperkukuh tekad dalam memperjuang kebajikan rakyat, memartabatkan kesejahteraan masyarakat India, dan memperluas ruang kemajuan untuk semua.
“Seiring semangat Malaysia Madani, saya menegaskan komitmen Kerajaan untuk terus melakar dasar yang inklusif, adil dan progresif. Hanya dengan iltizam bersama, keberanian membuat perubahan, serta kesatuan hati dalam membangunkan negara, kita mampu memastikan setiap warga menikmati nikmat pembangunan yang saksama,” kata Anwar.
AGM kali ini menjadi tumpuan kerana MIC baru-baru ini mengkritik Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai — satu langkah yang jarang berlaku secara terbuka oleh parti komponen BN.
Dalam ucapan dasarnya, Vigneswaran menyifatkan sokongan Perdana Menteri sebagai dorongan moral kepada perwakilan untuk terus fokus membela rakyat. Dia turut menegaskan pendirian MIC bahawa keputusan Umno tidak semestinya menggambarkan pendirian BN secara keseluruhan.
“Kita percaya Perdana Menteri serta kepimpinan Kerajaan Perpaduan sedar bahawa keputusan Umno tidak mencerminkan pendirian BN secara keseluruhan, mahupun pendirian MIC.
“Apabila Pakatan Rakyat ingin bekerjasama dengan PAS, ia dipuji sebagai ‘reformasi’. Apabila Umno bekerjasama dengan PAS, ia disebut sebagai ‘penyatuan ummah’. Tetapi apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan PAS, tiba-tiba ia menjadi isu.
“Tiba-tiba ia tidak dapat diterima. Tiba-tiba MIC diminta untuk berdiam dan terkurung dalam batas politik yang ditetapkan oleh orang lain. Kita juga mempunyai hak, malah bertanggungjawab untuk meneroka apa juga pakatan.
“Mengadakan dialog atau bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk melindungi kepentingan masyarakat kita, termasuk bekerjasama dengan Perdana Menteri. Kita tidak boleh meminta kekal setia kepada satu gabungan, di mana ahli lain gabungan tersebut bertindak sepihak demi kelangsungan diri sendiri,” katanya.
Sumber BN dan PH yang bercakap kepada Malaysiakini mendakwa Anwar telah meminta MIC menangguhkan sebarang keputusan mengenai masa depan mereka dalam BN.
“PMX berjumpa dengan pimpinan MIC dua hari yang lalu. Dalam perjumpaan itu, Anwar meminta MIC untuk menangguhkan keputusan keluar BN,” kata sumber itu.
Kerajaan dan BN dilaporkan bimbang sekiranya MIC keluar gabungan, langkah itu boleh menjejaskan prestasi BN-PH pada pilihan raya negeri Sabah pada 29 November ini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan MIC dijangka membuat keputusan penting mengenai kedudukan mereka dalam BN sempena AGM parti ini.
MIC telah lama menyuarakan rasa tidak berpuas hati, terutamanya selepas Umno di bawah Ahmad Zahid bekerjasama dengan PH.
Antara isu utama yang membelenggu MIC ialah pembahagian kerusi pilihan raya yang dilihat lebih memihak kepada parti penyandang. Berdasarkan formula pembahagian kerusi antara BN dan PH, MCA dan MIC diramal hanya menerima sebilangan kecil kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan