Malaysiakini
Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap penyiaran kartun 'Santiago of The Seas' yang mempunyai karakter songsang dan mempromosi agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah, berkata rancangan berkenaan disiarkan di sebuah stesen televisyen milik kerajaan setiap minggu.

Mohd Nor Hamzah
"Seharusnya kerajaan mengambil perhatian yang serius terhadap sebarang penyiaran yang berhubung kait dengan LGBT kerana kita tidak mahu penyakit songsang tersebut dinormalisasi dalam negara, apatah lagi mereka mula menyasarkan kanak-kanak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"DUPP menyarankan agar kerajaan melakukan saringan yang menyeluruh terhadap penyiaran kartun dari luar negara kerana dibimbangi membawa pengaruh LGBT. Serangan halus kelompok pendukung LGBT ini semakin sukar untuk dikesan dan meresap secara halus ke dalam pemikiran kanak-kanak.
"Langkah tersebut adalah strategi jangka panjang untuk merosakkan pemikiran mereka dengan ideologi LGBT sekaligus membentuk komuniti yang akhirnya menerima ideologi tersebut pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tular dakwaan terdapat dakwaan adegan ciuman pipi dua watak lelaki dalam kartun itu, semalam.
Difahamkan kartun berbahasa Inggeris itu disiarkan di saluran TV2.
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, kebejatan moral sebegini seharusnya menjadi suatu kebimbangan yang perlu dibanteras dengan suatu dasar yang tegas dan tanpa kompromi.
Oleh DUPP menggesa supaya kerajaan menumpukan kepada penerbitan kartun dalam negera sebagaimana yang telah ada ketika ini.
"Sewajarnya kita mengambil langkah selamat berbanding menormalisasi secara tidak langsung sesuatu yang boleh merosakkan kanak-kanak dan masa depan negara," katanya lagi.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan respon pihak berkaitan berhubung perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan