Bernama

Angka korban dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye pada Rabu meningkat kepada sembilan orang, termasuk lapan pelajar. - Foto REUTERS
ANKARA: Angka korban dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye pada Rabu meningkat kepada sembilan orang, termasuk lapan pelajar, lapor Xinhua memetik beberapa laporan media yang memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri Mustafa Ciftci.
Terdahulu pada hari yang sama, Gabenor Wilayah Kahramanmaras Mukerrem Unluer berkata sekurang-kurangnya empat orang maut dan 20 lagi cedera dalam kejadian itu, yang berlaku sekitar 1.30 tengah hari waktu tempatan (1030 GMT) di Sekolah Menengah Ayser Calik dalam daerah Onikisubat, di mana penyerang memasuki dua bilik darjah untuk melakukan serangan berkenaan.
Penyerang, seorang pelajar gred lapan, membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri ketika keadaan huru-hara, menurut laporan terbaharu oleh saluran penyiaran tempatan NTV.
Unluer memberitahu pemberita di lokasi kejadian bahawa penyerang, yang menyasarkan pelajar gred lima, melakukan serangan itu dengan menggunakan lima pucuk pistol dan tujuh kelopak peluru.
Senjata yang digunakan olehnya dipercayai milik bapanya Ugur Mersinli, seorang bekas pegawai polis, yang telah ditahan, menurut beberapa laporan media.
Menteri Kehakiman Turkiye Akin Gurlek mengumumkan siasatan terhadap insiden itu.
Sementara itu, Ciftci dan Menteri Pendidikan Kebangsaan Yusuf Tekin dilaporkan telah berlepas ke Kahramanmaras.
Satu perintah larangan penerbitan telah dikeluarkan yang menuntut organisasi media untuk "menghormati kerahsiaan siasatan", kata Gurlek.
Insiden itu berlaku hanya sehari selepas satu kejadian tembakan di sebuah sekolah di daerah Siverek di wilayah Sanliurfa, tenggara Turkiye, apabila seorang penyerang yang bersenjatakan senapang patah, memasuki premis sekolah dan mencederakan sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya pelajar, sebelum membunuh diri. Penyerang tersebut merupakan bekas pelajar di sekolah berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan