FMT Reporters
PETALING JAYA: Lelaki dikenakan lapan tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Melaka selepas mengaku salah cuba membunuh seorang inspektor menggunakan kerambit, Sabtu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fairus Abdullah, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati cuba membunuh Esmal Fhahmie Abd Malek, 40, dengan menghayunkan kerambit ke arah mangsa dengan niat sedemikian boleh menyebabkan kematian, menurut Kosmo.
Perbuatan itu dilakukan pada 1 pagi di Lot 1209-2, Batu 6 Lereh, Tanjung Kling, pada 11 April.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di tempat awam tanpa mempunyai maksud yang sah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan disebat.
Mengikut fakta kes, tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan dan bertindak melarikan diri sejauh 300m, sambil memegang sebilah kerambit serta sebatang pemutar skru selepas pengadu iaitu Esmal memperkenalkan diri.
Pengadu telah meminta menyerah diri, tetapi tertuduh enggan sambil menjerit ‘Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku’.
Tertuduh kemudian bertindak menghayunkan sebilah kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata itu selepas satu das tembakan amaran ke udara dilepaskan polis.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif memohon hukuman setimpal diberikan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya berjalan serentak dari tarikh tangkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan