Astro AWANI

Trump (kanan) menyuarakan rasa terkejut terhadap pendirian Meloni (kiri), yang menurutnya sebelum ini dianggap sebagai seorang pemimpin sayap kanan yang tegas dalam isu keselamatan dan dasar luar. -Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengkritik sekutu rapatnya, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, dengan mendakwa pemimpin itu tidak mempunyai keberanian kerana enggan menyertai Amerika Syarikat dalam serangan terhadap Iran.
Dalam satu temu bual bersama akhbar Itali Corriere della Sera, Trump menyuarakan rasa terkejut terhadap pendirian Meloni, yang menurutnya sebelum ini dianggap sebagai seorang pemimpin sayap kanan yang tegas dalam isu keselamatan dan dasar luar.
Kenyataan Trump itu dibuat susulan keputusan kerajaan pimpinan Meloni menggantung pembaharuan automatik perjanjian kerjasama pertahanan dengan Israel, berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
“Giorgia Meloni tidak mahu membantu kami dalam peperangan ini. Saya terkejut. Adakah rakyat menyukai hakikat bahawa presiden anda tidak melakukan apa-apa untuk mendapatkan minyak di Iran?” kata Trump seperti dipetik akhbar berkenaan.
Terdahulu, Meloni dalam satu kenyataan jarang berlaku turut mengkritik serangan lisan Trump terhadap Paus Leo, dengan menyifatkan kenyataan Presiden AS itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
Membalas kritikan tersebut, Trump menuduh Meloni sebagai pihak yang tidak mengambil serius ancaman senjata nuklear Iran, yang menurutnya mampu mengancam keselamatan Itali dalam masa singkat.
Pemerhati politik antarabangsa melihat pertelingkahan terbuka itu sebagai petanda keretakan hubungan diplomatik antara kedua-dua pemimpin, yang sebelum ini sering digambarkan mempunyai haluan ideologi selari, khususnya dalam isu keselamatan dan dasar luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan