Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dicabul seorang lelaki tidak dikenali ketika berjalan kaki pulang dari tempat kerja di sebuah kawasan perumahan di Setia Alam, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia awal 20 an berhubung kejadian itu pada jam 9.06 malam, semalam.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika mangsa berjalan seorang diri melalui lorong sunyi di kawasan perumahan berkenaan untuk pulang ke rumah.
"Secara tiba-tiba mangsa diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan seluar hitam.
"Suspek bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan meraba wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas melakukan perbuatan itu, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian.
Katanya, polis kini sedang giat mengesan serta menjejaki suspek bagi memastikan keselamatan orang ramai.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, "katanya.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan