"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar mahu menteri, timbalan undur jika serang kerajaan perpaduan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu menteri, timbalan, dan pemegang jawatan agensi kerajaan berundur jika menggunakan kedudukan menyerang rakan kerajaan perpaduan ketika berkempen pada PRN.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof semalam.

“Kalau dia pegang jawatan daripada persekutuan, dia tak boleh serang, menjadikan ini sebagai satu medan politik menyanggah kerana dia kena jaga disiplin.

“Kalau dia pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia. Kita kena jaga supaya jangan langgar kerana kalau ada pelanggaran, saya akan minta mereka undur,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media, di Ipoh.

Namun, Anwar terbuka andai menteri, timbalan, dan pemegang jawatan agensi mahu ‘bertarung dalam isu-isu negeri’.

“Kita ingatkan calon-calon, terutama yang pegang jawatan menteri, timbalan menteri atau pemegang mana-mana agensi, dia boleh bertarung dalam isu-isu negeri.

“Setakat ini, kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di Persekutuan kekal baik, supaya kerja boleh dijalankan. Biarlah kita kawal kalau ada pertarungan di peringkat negeri,” katanya.

Kelmarin, Naib Ketua Pemuda PKR, Dr Taufiq Johari, berkata Pakatan Harapan (PH) tidak berminat menghentam parti lawan, sebaliknya akan menonjolkan pencapaian kerajaan negeri bawah gabungan itu, pada PRN Negeri Sembilan.

Taufiq yang juga menteri belia dan sukan, berkata berkata fokus gabungan itu adalah menekankan kejayaan pentadbiran Menteri Besar Aminuddin Harun bersama barisan exco memacu pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Pada PRN Negeri Sembilan, PH bertembung dengan rakan kerajaan perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN). Persaingan bertambah sengit apabila BN bekerjasama dengan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

BN bertanding di 25 kawasan, manakala PN di 11 kerusi dengan dua gabungan itu mengelak bertindih kawasan. Bersatu walaupun masih komponen PN, bertanding 24 kerusi, sekali gus bertembung lapan kawasan ditandingi PAS dan Wawasan, selebihnya menentang BN dan PH.

Tiada ulasan: