"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: Pakatan BN-PAS akan paksa MCA buat keputusan sukar

FMT Reporters

Parti kaum Cina itu perlu pilih sama ada hendak menang pilihan raya atau hilang pengundi teras, menurut penganalisis.
bn pas mca
Pakatan BN dengan PAS mungkin membolehkan MCA menang lebih banyak kerusi namun penganalisis jangka ia akan mengorbankan undi Cina.
PETALING JAYA: Pakatan antara Barisan Nasional (BN) dan PAS meletakkan MCA dalam kedudukan yang canggung, memaksa parti berasaskan kaum Cina itu memilih antara cita-cita memenangi pilihan raya atau kehilangan penyokong teras, menurut penganalisis.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, MCA berpeluang meraih manfaat daripada kerjasama BN-PAS kerana ia membolehkan pemindahan undi PAS kepada calon parti itu.

Pada PRN Johor baru-baru ini, MCA menggandakan jumlah kerusinya kepada lapan, dibantu oleh undi daripada penyokong PAS, susulan gesaan parti Islam itu supaya penyokongnya menyokong BN di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

“Ini cara yang sangat mudah untuk MCA menambah undi dan memenangi kerusi,” kata Lau, walaupun menurutnya kerjasama BN-PAS mungkin membantutkan niat penyokong MCA untuk keluar mengundi.

Ini bermakna MCA perlu membuat pilihan, kata Lau.

“Adakah (parti itu) akan cuba buru undi Cina yang sukar diperolehinya, dengan kesedaran bahawa walaupun mereka berjaya meraih sebahagiannya, ia mungkin masih tidak cukup untuk menang kerusi tersebut?

“Atau adakah mereka hendak pilih kerjasama BN-PAS di mana mereka mungkin tidak dapat sebahagian besar undi Cina tetapi masih menang kerusi? Saya rasa buat masa ini, pilihan ini mungkin lebih baik untuk MCA,” katanya.

Pada 12 Julai, Presiden PAS Hadi Awang berkata, parti itu secara prinsipnya bersetuju membiarkan BN mempertahankan 14 kerusi disandangnya sebelum ini di Negeri Sembilan, manakala PAS sendiri akan bertanding di tiga kerusi dimenanginya pada pilihan raya sebelum ini.

Tiga hari kemudian, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan mengumumkan gabungan itu mencapai persefahaman dengan ‘rakan-rakannya’ berhubung kerjasama dan akan meletakkan calon di 25 daripada 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini.

Kenyataan mereka mendorong Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung, mempersoalkan sama ada kepimpinan partinya merestui pakatan BN-PAS itu.

Bagaimanapun, Lau memberitahu FMT, pakatan BN-PAS tidak semestinya memudaratkan MCA kerana pengundi muda mungkin melihat kehadiran BN sebagai membantu menyederhanakan imej PAS.

Sementara itu, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, DAP dan penyokongnya mungkin khuatir tentang implikasi pakatan BN-PAS tersebut.

Beliau berkata, kelemahan Pakatan Harapan (PH) mendorong pakatan BN-PAS itu.

Menurutnya, jika PH kuat, BN tidak akan mempunyai kerusi yang cukup untuk dirampas daripada PH, dan Umno tiada pilihan selain menentang kedua-dua PN dan PH jika ia mahu menerajui kerajaan akan datang.

“Jika PH tumbang di Negeri Sembilan, BN dan PN akan bekerjasama lebih erat pada PRU16,” katanya.

Wong juga berkata, MCA lebih lemah di Negeri Sembilan berbanding di Johor.

Katanya, orang bukan Melayu tidak sanggup memperjudikan masa depan mereka dengan MCA jika melihat wujudnya risiko PH dikalahkan oleh pakatan BN-PAS.

Tiada ulasan: